Paceh, permainan warisan dari Tasek Gelugor

Paceh, permainan warisan dari Tasek Gelugor

PERMAINAN ‘paceh’ diperkenalkan sejak 50 tahun yang lalu dimainkan ketika penganjuran Karnival Sukan Orang Kita di Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Sekali pandang, permainan ini tidak ubah seperti gabungan antara dam aji dan ular yang dimainkan di atas papan karom.

Namun jika diamati, permainan tradisional ini sebenarnya lain daripada lain dan tidak pernah dimainkan di mana-mana tempat sebelum ini.

Dikenali sebagai ‘paceh’, ia bagaimanapun tidak asing bagi penduduk di kampung Permatang Sungai Dua di sini kerana telah dimainkan sejak lebih 50 tahun yang lalu.

Menurut seorang penduduk, Ibrahim Zainudin, permainan rakyat itu sering dimainkan oleh golongan lelaki sewaktu berehat sama ada semasa persediaan kenduri-kendara atau selepas musim menuai padi serta ketika bulan Ramadan.

Dia yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Permatang Buloh berkata, bagaimanapun, tidak ramai dalam kalangan generasi muda yang tahu mengenai permainan tersebut kerana ia kurang diberi pendedahan.

“Permainan ini sebenarnya mudah sahaja untuk dimainkan kerana ia tidak memerlukan modal yang tinggi. Sebagai contoh, ia hanya menggunakan biji asam sebagai buah dadu dan papan karom terpakai sebagai tempat lapik.

“Walaupun nampak mudah dan ringkas, ia sebenarnya me­ngujakan dan boleh mengeratkan hubungan antara penduduk kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Zambri Mohd. Nor pula memberitahu, hanya empat orang diperlukan untuk bermain permainan itu dan sesiapa sahaja boleh bermain jika tahu bagaimana untuk bergerak dan mengumpul mata.

“Kami berharap agar permainan warisan ini diperkenalkan di peringkat lebih tinggi iaitu antara kampung sebelum ke peringkat daerah dan negeri sekali gus menjadi tarikan baharu dalam kalangan penggemar permainan tradisional atau warisan,” ujarnya.

Baru-baru ini permainan tersebut diperkenalkan menerusi Karnival Sukan Orang Kita anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Buluh dengan kerjasama Pejabat Tan Sri Dzulkifli atau TSDZ serta Masjid Permatang Buloh di sini.

Pada karnival itu juga, Pengerusi Pejabat TSDZ yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilantik sebagai penaung ‘paceh’ yang pertama.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×