PETALING JAYA: Koperasi sekolah wajar diperkasa sebagai saluran utama menyediakan barangan persekolahan sekali gus mengekang isu kenaikan harga barangan setiap kali sesi baharu persekolahan bermula.
Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, koperasi sekolah perlu menjadi pusat utama penjualan pakaian seragam, kasut dan peralatan sekolah pada harga berpatutan dan terkawal.
“Koperasi sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru boleh melakukan pembelian pukal terus daripada pengeluar untuk mendapatkan harga borong yang jauh lebih rendah dan konsisten.
“Selain itu wujudkan bank uniform dan buku, serta program guna dan kitar semula di bawah seliaan sekolah dan koperasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan ibu bapa perlu menambah perbelanjaan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak untuk tahun hadapan berikutan harga barangan dan keperluan sekolah meningkat antara 20 hingga 33 peratus.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Ekonomi & Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak pula berkata, ibu bapa boleh membuat pembelian dibuat secara berperingkat dengan menangguhkan barangan tidak mendesak.
“Lazimnya harga lebih rendah apabila permintaan menurun selain menggalakkan inisiatif pembelian pukal bersama komuniti dan penggunaan semula kelengkapan sedia ada yang masih elok. Memanfaatkan promosi bermusim dan bantuan sekolah turut membantu,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat ibu bapa yang memilih untuk tidak mengikut trend membeli-belah pada saat akhir, sebaliknya melakukan persiapan secara berperingkat.
Bagi seorang ibu, Sabrina Zulkifli, 48, dia memperuntukkan kira-kira RM1,000 setiap tahun bagi keperluan persekolahan tiga orang anaknya yang berusia antara 10 hingga 17 tahun.
Menurutnya, dia lebih selesa membeli barang sekolah di luar musim puncak bagi mengelakkan kenaikan harga barangan yang sering berlaku pada hujung tahun.
“Persediaan awal itu memang ada. Saya khaskan satu jumlah setiap tahun untuk perbelanjaan sekolah. Saya biasanya tidak akan beli pada waktu hujung tahun sebaliknya saya beli bila perlu atau ketika cuti sekolah pertengahan tahun sekitar bulan Jun atau Ogos,” katanya.
Sementara itu, bagi Nurul Affendi Mohd. Ali, 41, yang juga seorang peniaga, penggunaan semula pakaian sekolah tahun lepas untuk tiga orang anaknya menjadi strategi utama untuk berjimat.
“Tahun lepas anak-anak tidak banyak pakai baju sekolah, lebih banyak pakai baju aktiviti jadi baju sekolah lama masih elok dan boleh dipakai semula. Saya cuma beli satu atau dua pasang yang baharu sebagai tambahan.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia, Dr. T. Saravanan berkata, persaingan sihat dalam kalangan peniaga ketika ini berjaya mengekang kenaikan harga melampau sekali gus membolehkan pengguna membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing.-UTUSAN.










