Rumah hanya tinggal dinding dengan lantai selepas dilanda ribut

Rumah hanya tinggal dinding dengan lantai selepas dilanda ribut

ABDUL Rahim Ahmad menunjukkan keadaan rumah bapa mertuanya yang rosak selepas dilanda ribut dalam kejadian awal pagi di Kampung Pulai Pantai, Melaka hari ini.- UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA : “Saya sangkakan angin biasa-biasa saja, rupanya bumbung rumah terus hilang diterbangkan ribut,” 

Itu kata Abdul Rahim Ahmad, 54, yang menceritakan detik cemas dalam kejadian ribut yang melanda kediaman bapa mentuanya di Jalan Mulia, Kampung Pulai Pantai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Abdul Rahim yang tinggal bersebelahan rumah terbabit berkata, dia keluar rumah untuk memeriksa sangkar kucing sebelum adik iparnya tiba-tiba menjerit memberitahu bumbung rumah sudah diterbangkan ribut.

“Dalam masa sama, jiran-jiran turut datang beritahu bumbung rumah kami tercampak tidak jauh dari kawasan ini, rumah ini memang kerap kena angin kuat sebab dekat pantai, tapi ini kali pertama seteruk ini.

“Waktu kejadian, bapa mentua saya berusia 69 tahun tidur di ruang tamu kerana kurang sihat, manakala dua adik ipar perempuan masing-masing berusia 35 dan 29 tahun sedang tidur di bilik, nasib baik semua sedar dan sempat lari keluar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Tambahnya, mereka bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku meskipun keseluruhan struktur bumbung rumah habis diterbangkan angin.

Menurutnya, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulai sudah datang meninjau kejadian yang berlaku dan kini sedang menunggu bantuan lanjut daripada pihak berwajib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN