Ribut: Tiga sekolah rendah ditutup hingga akhir tahun

Ribut: Tiga sekolah rendah ditutup hingga akhir tahun

Sekolah ditutup
PEKERJA kontraktor melakukan kerja-kerja pembaikan bumbung yang rosak akibat dibadai ribut dan puting beliung dekat SK Sijangkang Jaya, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Lebih 4,000 pelajar di tiga buah sekolah rendah dekat Sijangkang, di sini meneruskan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sehingga habis penggal persekolahan pada akhir tahun ini.

Pelaksanaan kaedah tersebut diteruskan susulan kerja-kerja baik pulih bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung yang rosak akibat dibadai puting beliung pada minggu lalu akan memakan masa sehingga tiga bulan.

Bagaimanapun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya sudah pun disahkan selamat selepas kerja pembaikan bumbung di blok-blok akademik siap dan kira-kira 2,000 pelajarnya termasuk lebih 400 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kembali ke sekolah seperti biasa bermula hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembaikan bagi sekolah-sekolah terjejas melibatkan kos sebanyak RM10.1 juta yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, namun peruntukan tersebut hanya melibatkan pembinaan semula melibatkan struktur terutama pada bahagian bumbung dan tidak termasuk kos pendawaian elektrik serta peralatan-peralatan yang rosak.

“Pelajar-pelajar yang terlibat dengan peperiksaan SPM dibenarkan untuk masuk (bersekolah) dan (kawasan sekolah) diisytiharkan selamat. Kerja pembersihan sudah selesai dan kita tumpukan ia di sini untuk memberi peluang kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan pada 2 November depan.

“SMK Sijangkang Jaya 90 peratus selesai, hanya di bangunan makmal yang perlu dibaiki,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat mengenai kerja-kerja baik pulih empat buah sekolah di Sijangkang, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri akan mendapatkan senarai peralatan dan kelengkapan yang perlu diganti daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat sekiranya memerlukan bantuan peruntukan tambahan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lima buah sekolah termasuk sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan mengalami kerosakan susulan insiden ribut dan puting beliung pada 15 Oktober lalu.

Bencana tersebut menyebabkan kerosakan pada struktur bumbung, peralatan sekolah serta beberapa kemudahan lain sehingga memaksa lebih 4,000 pelajar meneruskan pembelajaran secara PdPR.

Insiden tersebut turut memusnahkan sebuah pusat khidmat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang dan mencetuskan kerosakan di 40 buah rumah di kawasan berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN