KUALA LANGAT: “Kami hanya mampu duduk dan menunduk sambil berdoa dan menyebut ayat-ayat al-Quran, tak dapat buat apa-apa. Angin datang menyerbu dari semua arah.”
Demikian kata seorang guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, Nur Azizah Qamari yang berkongsi detik lima minit cukup mendebarkan dia dan 15 murid darjah enam berada bersamanya ketika itu.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar pukul 4 petang ketika bersama murid sedang menjalani sesi latihan nasyid dan bacaan al-Quran di surau sekolah berkenaan.
“Pada mulanya kami nampak ada angin dan benda berterbangan, ingatkan ribut biasa. Tetapi, tiba-tiba angin datang menyerbu kuat dari semua arah. Kami tak sempat beralih tempat, hanya duduk di tengah surau dalam keadaan tunduk,” katanya ketika ditemui pada lawatan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah, hari ini.
Katanya, suasana bertukar panik apabila tingkap dan pintu tercabut, menyebabkan serpihan kaca berterbangan ke arah mereka. Beberapa murid mengalami luka ringan akibat terkena serpihan tersebut.
“Saya cuba meminta murid bertenang tetapi suara pun tenggelam dalam bunyi angin yang kuat. Ada murid sebut mengulangi bacaan ayat-ayat al-Quran berulang kali, semua hanya mampu berlindung di tempat duduk masing-masing,” ujarnya.
Nur Azizah berkata, beliau bersyukur kerana struktur besi biru pada bumbung surau tidak menghempap mereka, walaupun sebahagiannya tercabut akibat pusaran angin.

Sementara itu, Mohammad Fahmi Ngah memaklumkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengumumkan peruntukan RM320,000 bagi membaik pulih sekolah berkenaan.
Selain itu, seramai 13 pelajar yang menjadi mangsa turut diberikan bantuan sekurang-kurangnya RM2,000 daripada Tabung Infak Jariah umat Islam (TIJARI), Halal International Selangor (HIS) dan kerajaan negeri.
“Seramai 1,500 pelajar bersekolah di SRA itu diberikan cuti selama dua minggu, namun, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyegerakan pembukaa bagi membolehkan 200 murid darjah lima menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), pada minggu depan,” ujarnya. – UTUSAN










