KUALA LANGAT: Seramai 17 orang mangsa ribut di Kampung Medan, di sini masih tinggal di pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Harmoni Kampung Sijangkang, hari ini.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sehingga pukul 6 petang tadi, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat itu berkurang seorang, berbanding 18 mangsa semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 40 buah rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai rosak akibat bencana ribut dan angin kencang yang berlaku di daerah ini, dua hari lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1,000 kepada 64 keluarga yang terjejas akibat ribut di Sijangkang, Kuala Langat dengan dana keseluruhan di bawah Tabung Bencana Negeri berjumlah RM64,000. – UTUSAN










