KUALA LUMPUR: Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) menjadi pelan pembangunan bandar paling lengkap dan menyeluruh dalam sejarah negara yang menekankan pendekatan pembangunan berteraskan manusiawi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep pembangunan bandar perlu berteraskan nilai manusiawi, iaitu dengan memastikan pendekatan yang diambil lebih terangkum, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.
Katanya, perancangan pembangunan tidak lagi boleh bersifat eksklusif atau hanya mengutamakan kelompok tertentu, sebaliknya mesti mengambil kira pemikiran serta keperluan baharu masyarakat bandar, khususnya melibatkan perumahan rakyat dan keselesaan peniaga kecil.
“PTKL 2040 dilancarkan selepas beberapa tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19. Tetapi, selepas kerajaan Madani ambil alih, kita usulkan untuk rombak secara besar-besaran.
“PTKL 2040 adalah dokumen paling komprehensif dan lengkap dalam sejarah yang pernah kita hasilkan. Ia bukan sekadar pelan struktur, tetapi meletakkan prinsip manusiawi sebagai asas pembangunan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran PTKL 2040 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Selain itu, hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendekatan baharu yang dibawa melalui PTKL 2040 mencerminkan semangat kerajaan Madani dengan tumpuan kepada keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan keperluan rakyat.
Anwar berkata, antara penekanan utama dalam pelan itu termasuk isu rumah mampu milik, pengangkutan awam, peralihan tenaga melalui penggunaan solar, dan cadangan pembangunan sekolah vertikal di kawasan bandar padat.
Katanya, pembinaan rumah baharu pada masa akan datang juga perlu memenuhi syarat mesra alam dengan sistem tenaga solar sebagai langkah ke arah kelestarian.
“Kita mahu bangunan tinggi bukan sahaja menempatkan rumah, tetapi juga sekolah dan tadika. Ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi memberi kemudahan kepada ibu bapa dan anak-anak.
“Ini bukan hanya menjimatkan bil elektrik rakyat, tetapi juga pelaburan kepada masa depan negara,” katanya.
Anwar berkata, antara kelemahan dalam pembangunan sebelum ini adalah tumpuan keterlaluan terhadap pembangunan infrastruktur untuk kelompok tertentu tanpa mengambil kira impak terhadap kesesakan lalu lintas dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kita tidak boleh terus membangunkan bandar berdasarkan kerangka lama yang tidak fleksibel.
“Banyak projek diluluskan tanpa mempertimbang kesan kepada rakyat. Saya (dulu) pernah tinggal di Segambut dan tertanya-tanya (bagaimana) pembangunan perumahan besar boleh diluluskan begitu sahaja,” katanya.
Anwar berkata, sesetengah pembangunan yang berlaku sebelum ini dibuat berdasarkan cabaran dan keperluan masa lalu, namun kini Malaysia perlu merancang dengan lebih berhati-hati agar kesilapan lama tidak diulang.
“Peraturan mesti dipatuhi, tetapi kita juga perlu berubah mengikut keadaan. Pembangunan yang tidak mengambil kira kesejahteraan rakyat bukan pembangunan yang kita mahu lagi,” katanya. – UTUSAN










