PETALING JAYA: Polis menggunakan dron dari Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman bagi mengesan motosikal yang ditunggang secara berbahaya dalam Op Motosikal di Lebuhraya Persekutuan di sini hari ini.
Antara kesalahan dikesan iaitu menunggang dengan laju selain tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Menerusi operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu, rata-rata penunggang motosikal yang ditahan memberikan alasan kononnya ingin cepat sampai ke destinasi menyebabkan mereka tidak menggunakan laluan motosikal yang disediakan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’ afar berkata, operasi ini dijalankan dengan menyasarkan penunggang motosikal yang ingkar menggunakan lorong motosikal disediakan di sepanjang laluan lebuh raya ini.
“Dalam operasi ini, kita tidak kejar mereka yang kita dapati lakukan kesalahan ini, sebaliknya dengan menggunakan dron kita rakam kesalahan dilakukan dan kita akan hantar notis saman untuk tindakan selanjutnya.
“Bantuan dron dari PGU Bukit Aman ini secara langsung memastikan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan masa sama memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,” katanya dalam Op Motosikal di Lebuhraya Persekutuan di sini hari ini.
Kata beliau, teknologi dron digunakan bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh serta memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya.
“Sebanyak 32 saman berjaya dikeluarkan hasil rakaman udara dron dalam tempoh 30 minit awal operasi dijalankan.
“Gambar serta nombor pendaftaran motosikal yang dikesan melakukan kesalahan akan dikirimkan kepada pemilik untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Menurut beliau, kerjasama dengan Unit Dron PGU Bukit Aman ini dilaksanakan bagi menangani isu peningkatan kemalangan maut membabitkan motosikal, khususnya di lebuh raya berkenaan.
“Rekod mencatatkan sebanyak 70 peratus kematian dicatatkan di Petaling Jaya khususnya di Lebuhraya Persekutuan ini membabitkan penunggang motosikal.
“Penunggang motosikal menjadi golongan yang paling terdedah dengan risiko tambahan pula apabila mereka ini kita kesan tidak menggunakan laluan yang disediakan di lebuh raya ini,” ujarnya.
Shahrulnizam berkata, tindakan penunggang motosikal menggunakan laluan tidak dibenarkan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Penggunaan dron akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan penguatkuasaan lebih efektif.
“Mana-mana penunggang tidak boleh lagi melarikan diri mengelak daripada dikenakan tindakan, setiap perbuatan mereka dirakam dan sekiranya mereka dikesan melakukan kesalahan maka tindakan lanjut pasti menyusul,” katanya. – UTUSAN