KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mengadakan berjumpa secara terus dengan individu yang menangguhkan penyertaan dalam sesi latihan tersebut.
Ketua Pengarah JLKN, Datuk Ya’cob Samiran berkata, ia bagi mendapatkan penjelasan terperinci daripada peserta terbabit.
Selain itu, katanya, JLKN mahu memberikan peluang untuk mereka dalam siri latihan akan datang dan bukan di usia maksimum mengikut kelayakan iaitu 35 tahun.
“Kita mahu memastikan mereka tetap diberi peluang menyertai siri latihan akan datang.
“Kita tidak mahu mereka tangguh sampai umur 35 tahun. Masa itu mungkin dah ada cucu, dah ada komitmen lain,” katanya dalam sidang akhbar di Kem PLKN 3.0 Regimen 515 Askar Wataniah, Sungai Besi, hari ini.
Program PLKN 3.0 bukan sahaja menarik golongan lepasan sekolah, malah turut disertai graduan sarjana seperti Seow Mei Xue, 25, yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Psikologi Klinikal di Universiti Cyberjaya.
“Saya tidak pernah aktif sukan, tetapi selepas habis belajar saya nak uji ketahanan diri dan latih keyakinan melalui latihan lasak seperti abseiling dan menembak,” katanya.
Menurut Mei Xue, pada peringkat awal keluarganya kurang bersetuju kerana bimbang dengan keselamatan berdasarkan pengalaman abangnya yang pernah menyertai PLKN sebelum ini, namun akhirnya akur selepas dia menjelaskan niat sebenar.
“Saya nak cabar diri untuk buat sesuatu di luar zon selesa. Bila mereka faham, mereka mula memberikan sokongan,” katanya.
Dua peserta muda, Zizie Zulaiqa Azwina Zasni, 18, dari Selangor dan Nur Afzan Shafie, 18, dari Kedah, turut berkongsi pengalaman positif sepanjang lima minggu berada dalam kem.
Zizie berkata, latihan PLKN memberi inspirasi untuk mengikut jejak langkah bapanya sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Awalnya saya takut dan kalau boleh tak nak masuk pun, tapi sekarang sedih pula bila fikir latihan akan tamat tidak lama lagi,” katanya.
Bagi Nur Afzan, pengalaman menyertai pelbagai aktiviti membina semangat berpasukan dan disiplin telah memberi kesan besar terhadap keyakinan dirinya.
Setakat ini, seramai 444 peserta hadir mengikuti latihan bagi Siri 2 daripada 550 yang ditawarkan, manakala selebihnya memohon penangguhan atas faktor kesihatan dan pendidikan. – UTUSAN