Permit syarikat bas bawa pelajar UPSI dibatalkan serta-merta

Permit syarikat bas bawa pelajar UPSI dibatalkan serta-merta – Anthony Loke

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan pembatalan serta-merta permit operasi syarikat bas persiaran yang terlibat dalam tragedi kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat, yang meragut 15 nyawa termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan tegas itu dibuat selepas siasatan awal mendapati pemilik permit telah memajakkan permit berkenaan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran, selain gagal mematuhi syarat keselamatan wajib, termasuk pengaktifan sistem GPS.

“Saya telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membatalkan serta-merta permit syarikat terbabit sebaik sahaja tempoh surat tunjuk sebab tamat. 

“Ini termasuk semua permit lain yang dimiliki serta sebarang bentuk pajakan kepada pengendali berkaitan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Anthony Loke berkata, siasatan mendapati syarikat tersebut memiliki dua lesen iaitu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan APAD.

Namun, katanya, permit yang dikeluarkan telah dipajak kepada individu lain dari Kelantan dengan bayaran hanya RM500 sebulan.

“Pemilik permit beralamat di Kedah, tetapi bas dikendalikan pihak ketiga yang tidak diberi kebenaran rasmi. Ini satu pelanggaran besar terhadap syarat permit.

“Sistem GPS yang diwajibkan bagi semua kenderaan pengangkutan awam turut tidak diaktifkan, menyebabkan syarikat gagal menyerahkan rekod pergerakan bas kepada pihak berkuasa.

“Ia menunjukkan dua pelanggaran syarat yang serius iaitu pemajakan haram dan kegagalan mematuhi keperluan keselamatan asas. Keselamatan penumpang telah diabaikan sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, Anthony Loke berkata, walaupun wujud saluran rayuan dalam proses pembatalan permit, kementeriannya tidak akan mempertimbangkan sebarang rayuan kerana kesalahan ini amat serius dan tidak boleh dikompromi.

“Ini bukan sekadar kesilapan teknikal. Ini soal nyawa. Kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk kecuaian yang mengorbankan nyawa orang awam,” tegasnya.

Mengulas dakwaan pemandu bahawa kemalangan berpunca daripada masalah brek, beliau berkata siasatan masih dijalankan. 

Namun, katanya, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka pengguna jalan raya menunjukkan bas tersebut memandu laju dan memotong kenderaan lain sebelum terbabas.

“Kita sedang menunggu laporan forensik dan teknikal penuh untuk menentukan punca sebenar nahas ini,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, perjalanan kembali ke kam­pus 15 pelajar UPSI berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Ki­lometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JR­TB), Jeli-Gerik.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 1 pagi itu, 13 pelajar UPSI berusia antara 21 hingga 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik, sementara 27 lagi ce­dera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN