Perlu bina 20,333 unit rumah setahun

Perlu bina 20,333 unit rumah setahun

MUHAMMAD NAJIB RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20,333 unit rumah mampu milik perlu dibina setiap tahun di Kuala Lumpur bermula tahun ini bagi mencapai sasaran 305,000 unit menjelang 2040 seperti yang dirancang dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).

Pakar Ekonomi dan Kewa­ngan Harta Tanah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Razali berkata, angka tersebut adalah dua hingga empat kali ganda lebih tinggi berbanding kadar pembinaan rumah mampu milik di Kuala Lumpur ketika ini, yang dianggarkan sekitar 5,000 hingga 10,000 unit setahun.

Katanya, sasaran tersebut boleh dianggap realistik dari sudut angka tetapi jauh me­lebihi kapasiti semasa, sekali gus memerlukan peningkatan drastik dalam pelaksanaan dasar, kerjasama sektor swasta dan pembiayaan projek.

“Jumlah 305,000 unit ini mewakili lonjakan 53.5 peratus berbanding jumlah rumah sedia ada di Kuala Lumpur yang berjumlah sekitar 570,000 unit pada tahun 2020.

“Ia satu angka yang sangat besar bagi sebuah bandar raya yang padat dan terhad dari segi keluasan tanah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 305,000 unit rumah mampu milik di­sasarkan untuk dibina di ibu negara menjelang tahun 2040 bagi memastikan golongan B40 dan M40 dapat memiliki kediaman di ibu negara.

Mengulas lanjut, Muhammad Najib berkata, unjuran penduduk Kuala Lumpur dijangka meningkat kepada 2.5 juta orang menjelang 2040, sekali gus memerlukan sekitar 658,000 unit rumah berdasarkan purata isi rumah iaitu 3.8 orang.

Justeru katanya, sasaran rumah mampu milik yang dirancang hanya mampu memenuhi kira-kira 46 peratus daripada jumlah keperluan tersebut.

“Meskipun terdapat lebih 100 pemaju aktif di Lembah Klang, kebanyakan daripada mereka lebih berminat membina projek perumahan mewah yang menawarkan margin keuntungan lebih tinggi berbanding rumah mampu milik.

“Banyak projek dibina di lokasi yang kurang strategik atau jauh dari kemudahan asas,” ujarnya.

Tambah beliau, bangunan terbiar dan pusat beli-belah yang tidak lagi mendapat sam­butan untuk digantikan dengan perumahan mampu milik serta selaras dengan prinsip pemba­ngunan semula bandar.

Katanya, langkah itu dapat mengoptimumkan penggunaan tanah yang semakin terhad serta membantu menangani isu pemilikan rumah bagi golongan B40 dan M40.

“Penggunaan semula tapak bangunan terbengkalai boleh menyumbang kepada penyedia­an perumahan untuk golongan memerlukan, selain mengurangkan risiko kawasan tersebut menjadi lokasi aktiviti jenayah atau sosial tidak terkawal.

“Malah, pusat beli-belah yang gagal menarik penyewa sejak pandemik Covid-19 boleh dianggap sebagai aset tidak produktif dan jika ditukar guna secara terancang, ia boleh menyumbang antara 20,000 hingga 30,000 unit rumah mampu milik,” katanya.

Muhammad Najib berkata, jumlah itu bersamaan kira-kira 10 peratus daripada sasaran 305,000 unit rumah mampu milik yang ditetapkan dalam PTKL 2040.

Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), kadar kekosongan ruang runcit di Kuala Lumpur melebihi 15 peratus di beberapa kawasan pada 2023, sekali gus menunjukkan keperluan menyemak semula guna tanah komersial yang tidak lagi relevan dengan pasaran semasa.

“Bagaimanapun, langkah me­nukar guna bangunan ini tidak dilakukan secara melulu tanpa mengambil kira nilai sejarah atau warisan yang ada pada sesetengah bangunan.

“Tidak semua bangunan perlu dirobohkan. Bagi yang mempunyai nilai warisan, pendekatan adaptasi semula adalah lebih sesuai supaya identiti dan sejarah bandar tidak terhapus begitu sahaja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN