Perang: Syarikat penerbangan perlu sedia langkah mitigasi

Perang: Syarikat penerbangan perlu sedia langkah mitigasi

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pe­ngangkutan (MOT) mengarahkan syarikat penerbangan tempatan supaya menyediakan langkah mitigasi kepada penumpang susulan penutupan ruang udara di beberapa negara di Asia Barat.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau difahamkan sejak semalam, beberapa syarikat penerbangan tempatan termasuk Batik Air terpaksa membatalkan penerbangan di­sebabkan penutupan itu.

Beliau berkata, pihaknya mengesahkan ada penerba­ngan terjejas terutama bagi laluan ke Asia Barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Syarikat penerbangan ber­kenaan justeru akan melaksanakan langkah mitigasi termasuk menyediakan tempat penginapan kepada penum­pang terjejas sementara me­nunggu ruang udara dibuka semula.

“Malam tadi (semalam), saya dimaklumkan penerba­ngan Batik Air ke Dubai terpaksa berpatah balik apabila tiba di Lautan Hindi disebabkan penutupan ruang udara itu.

“Apabila ruang udara di negara-negara tertentu ditutup maka, syarikat penerba­ngan tidak boleh melalui ruang udara itu dan terpaksa berpatah balik atau mengubah laluan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Expo Pengangkutan Asia 2025, di sini semalam.

Katanya, penutupan udara oleh sesebuah negara adalah di luar kawalan dan ia bukan sahaja menjejaskan penerbangan dari Malaysia sahaja sebaliknya semua negara yang menggunakan laluan udara itu.

Anthony Loke berkata, beliau difahamkan, syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang terlebih dahulu telah diberikan ‘notis kepada juruterbang’ (NOTAM) sebagai makluman awal penutupan ruang udara itu.

Menurutnya, apabila NO­TAM dikeluarkan, syarikat pe­nerbangan perlu mengambil langkah waspada dan perlu membatalkan penerbangan atau mengubah laluan.

“Syarikat penerbangan juga perlu membuat penilaian risiko untuk setiap penerbangan sebelum mereka terbang semula.

“Saya dimaklumkan, dalam tempoh dua minggu ini penerbangan dari Malaysia ke laluan Eropah (Paris dan London) dilencongkan ke ruang udara Afghanistan serta tidak melalui ruang udara Iran seperti sebelum ini.

“Akibat konflik Iran – Israel ini, semua penerbangan kita telah mengambil laluan yang lebih jauh iaitu lebih utara dengan memasuki ruang udara India ke Afganistan bagi mengelak ruang udara itu,” katanya.

Ketegangan memuncak aki­bat konflik Iran – Israel menye­babkan beberapa negara di Asia Barat termasuk Qatar dan Kuwait ditutup sementara.

Ia menyebabkan penerba­ngan yang menggunakan ruang udara itu terjejas dan terpaksa dibatalkan atau terpaksa me­ngubah laluan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini