'Penyertaan wanita sebagai pemimpin, jurulatih sukan masih rendah'

‘Penyertaan wanita sebagai pemimpin, jurulatih sukan masih rendah’

HANNAH Yeoh (tengah) ketika merasmikan 'ASEAN Conference on Gender Equity In Sports 2025' di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penyertaan serta peranan yang dimainkan oleh wanita dalam bidang kepimpinan dan kejurulatihan sukan di rantau ASEAN ketika ini masih berada pada tahap yang rendah serta tidak memuaskan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, data semasa menunjukkan, wanita hanya mewakili kurang daripada 20 peratus jurulatih bertauliah dalam kalangan negara anggota ASEAN berbanding sasaran minimum yang ditetapkan sebelum ini iaitu sebanyak 30 peratus.

“Di seluruh Asia Tenggara, banyak badan sukan kebangsaan sebenarnya masih bergelut untuk mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan.

“Data juga menunjukkan bahawa bidang kejurulatihan ini masih didominasi oleh lelaki,” katanya ketika berucap merasmikan ‘ASEAN Conference on Gender Equity In Sports 2025’ di sini, hari ini.

Persidangan tersebut menghimpunkan ramai pemimpin sukan, pembuat dasar serta penggiat sukan wanita dari seluruh Asia Tenggara bagi merangka langkah kolektif dalam usaha memperkukuh peranan wanita dalam ekosistem sukan di rantau ASEAN.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, sehubungan itu, satu pelan tindakan jelas dan berjadual diperlukan bagi memastikan niat untuk memperkasa wanita dalam sukan diterjemah kepada pelaksanaan yang sebenar.

“Kita tidak boleh sekadar bergantung kepada komitmen semata-mata. Sudah tiba masanya untuk beralih kepada tindakan dengan menyusun pelan yang terikat masa dan berfokus kepada hasil,” katanya.

Tambah beliau, kesaksamaan jantina dalam sukan bukan semata-mata tentang pingat, malah, ia turut berkisar kepada akses, pengiktirafan dan maruah.

Sementara itu, Hannah berkata, sebagai satu langkah ke hadapan, pihaknya mencadangkan supaya daftar jurulatih wanita peringkat kebangsaan ditubuhkan dan menerima sokongan serta latihan berterusan untuk memastikan pembangunan profesional secara menyeluruh dapat dilakukan.

“Selain itu, Pelan Tindakan Kebangsaan yang disusun juga perlu merangkumi strategi media yang kukuh untuk menyerlahkan sumbangan wanita serta menangani isu penting seperti ‘Sukan Selamat’ dan kesihatan mental.

“Dalam hal ini, Malaysia telah pun meletakkan asas ini melalui Kod Sukan Selamat (Safe Sport Code) sejak tahun 2023 yang mengutamakan maruah, rasa hormat serta perlindungan daripada gangguan dan penyalahgunaan dalam semua ruang sukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN