PETALING JAYA: Serangan perkauman terhadap pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) adalah propaganda politik yang tidak berasas.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pelantikan Yeoh dilakukan atas penilaian kepemimpin yang dibuat berdasarkan fakta dan rekod perkhidmatan.
Katanya, rekod Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan wakil rakyat menunjukkan kepimpinan profesional, non-partisan dan berwibawa sekali gus menangkis sebarang persepsi atau propaganda berasaskan kaum.
“Propaganda dan persepsi jelik dan jelak pihak musuh iaitu Kuala Lumpur kini dijual kepada orang Cina amat mendukacitakan apabila peluru perkauman terus menerus digunakan untuk menyerang tokoh tertentu.
“Beliau diberikan tugas baharu sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, portfolio yang berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri yang mana sebarang keputusan melibatkan dasar harus dimuktamadkan melalui mesyuarat Jemaah Menteri dan bukan melalui kuasa menteri sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Rombakan Kabinet pada Selasa menyaksikan Hannah bertukar portfolio daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Mengenai rekod Yeoh sebagai wakil rakyat, Muhammad Kamil berkata, ia membuktikan khidmat awam tidak harus dinilai melalui lensa prasangka kaum sebaliknya perlu sumbangan berdasarkan kerja dan khidmat yang diberikan, bukan sentimen perkauman.
“Di kawasannya terdapat Kampung Sungai Penchala, sebuah kampung melayu yang bukan sahaja tidak terpinggir, malah diperjuangkan oleh beliau untuk diiktiraf sebagai kampung warisan Melayu.
“Sikap saling menghormati yang sering dipamerkan beliau ketika bergaul dalam acara melibatkan komuniti Melayu dan Islam turut terserlah.
“Ia bukan untuk mengubah identiti, tetapi sebagai tanda hormat terhadap sensitiviti melayu dan Islam. Inilah contoh kepimpinan matang dalam masyarakat majmuk, dinilai berdasarkan sumbangan dan integriti, bukan identiti,” katanya.
Muhammad Kamil berkata, peluang diberikan kepada muka baharu tidak bermakna memberikan mereka imuniti, sebaliknya jika gagal berprestasi, rakyat akan menilai dan menghukum melalui proses demokrasi kerana rakyat yang menghakimi. – UTUSAN










