KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pergerakan Masyarakat Kuala Lumpur (PPMKL) menyambut baik pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dengan keyakinan bahawa kepemimpinan baharu itu mampu membawa nafas segar dalam pentadbiran bandar raya.
Pada 16 Disember lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PPMKL, Hussen Zulkarai berkata, pihaknya tidak melihat pelantikan tersebut sebagai isu, sebaliknya menilai ia sebagai peluang untuk memperkukuh kesejahteraan penduduk di ibu negara.
Menurutnya, dalam tempoh hampir sebulan Hannah memegang jawatan tersebut, PPMKL telah mengadakan tinjauan di 36 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Awam (PPA) serta residensi di sekitar Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklum balas penduduk.
“Hasil tinjauan kami mendapati penduduk tidak mempunyai sebarang masalah dengan pelantikan YB Hannah. Malah, kami menyambut baik dan berharap beliau dapat memberi perhatian terhadap isu yang membelenggu kehidupan harian warga kota,” katanya kepada pemberita di Taman Seri Rampai, Setapak, di sini hari ini.
Sementara itu, Hussen menegaskan semua pihak supaya tidak mempolitikkan pelantikan Menteri Wilayah yang baharu, sebaliknya memberi ruang kepada menteri itu untuk membuktikan keupayaan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Tidak wajar timbul persepsi negatif terhadap beliau hanya kerana latar belakang parti. Apa yang penting ialah kemampuan dan kesungguhan dalam mengurus tadbir wilayah dengan lebih baik,” katanya.
Tambahnya, PPMKL bersedia menjadi rakan strategik kepada kementerian dalam menyalurkan pandangan serta aduan masyarakat bagi memperbaiki mutu kehidupan penduduk Kuala Lumpur.
“Kami percaya dengan pendekatan yang inklusif dan terbuka, Kuala Lumpur mampu menjadi bandar raya yang lebih tersusun, selesa dan sejahtera di bawah pentadbiran baharu ini,” katanya. – UTUSAN










