Kaum, warna kulit tidak pernah hadkan tugas saya untuk rakyat - Hannah

Kaum, warna kulit tidak pernah hadkan tugas saya untuk rakyat – Hannah

HANNAH Yeoh pada hari pertama menjalankan tugas rasmi di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengehadkan atau mendefinisikan kaum dan warna kulit dalam tugasanya sebagai menteri.

Menurutnya, rekod perkhidmatan, dasar dan hasil kerja beliau menjadi ukuran sebenar dalam memikul amanah.

“Isu perkauman dibangkitkan segelintir pihak susulan pelantikan saya dan Timbalan Menteri, Datuk Loh Su Fui, tidak seharusnya mengaburi fokus utama pentadbiran Wilayah Persekutuan.

“Kaum ataupun warna kulit tidak pernah mendefinisikan atau mengehadkan kerja kami,” katanya pada sidang akhbar selepas melapor diri hari pertama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang pembabitannya dalam politik dan pentadbiran sejak 2008, tumpuan sentiasa diberikan kepada dasar, pelaksanaan serta hasil kerja tanpa menjadikan faktor kaum sebagai penentu.

Hannah berkata, tumpuannya kekal pada dasar, pelaksanaan dan hasil kerja terutama sejak berkhidmat untuk rakyat sama ada sebagai ADUN Subang Jaya, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Segambut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Menteri Belia dan Sukan.

Katanya, komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat kekal menjadi prinsip utama dalam setiap amanah yang dipikul, termasuk menerajui Wilayah Persekutuan.

“Akal dan hati saya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan saya bersedia untuk bekerja dengan segera dan membiarkan rekod pencapaian menjadi bukti,” katanya.

Pada masa sama, Hannah berkata, beliau komited untuk memimpin Wilayah Persekutuan dengan ketelusan, tanggungjawab dan kefahaman yang jelas terhadap realiti yang dihadapi masyarakat.

“Tumpuan saya adalah untuk memperkukuh kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan awam, memacu pembangunan mampan, melindungi ruang hijau dan rekreasi serta mempertingkat usaha mitigasi banjir.

“Ini adalah amanah yang besar dan saya akan memikulnya dengan integriti, disiplin serta tekad yang tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dan harapan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, inklusif dan berkesan,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN