KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal meneruskan pemberian bantuan kepada individu berusia 30 tahun ke atas walaupun had umur keahlian pertubuhan belia baharu yang berkuat kuasa 1 Januari depan menetapkan dari umur 15 tahun hingga sebelum mencapai umur 30 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya sudah membentangkan satu memorandum Jemaah Menteri berkenaan penyelarasan sokongan dan bantuan kerajaan kepada belia pasca penguatkuasaan penurunan had umur belia pada 28 November lalu.
Kata beliau, ia selepas Majlis Belia Malaysia memaklumkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapatkan bantuan dan sokongan kepada golongan belia berumur 30 tahun dan ke atas yang masih memerlukan intervensi kerajaan.
Jelasnya, kabinet sudah membincangkan dan meluluskan kertas tersebut dan antara langkah yang diambil adalah memastikan semua bantuan kerajaan kepada golongan berumur 30 tahun dan ke atas walaupun mereka sudah tidak lagi dipanggil sebagai belia.
“Saya bagi contoh, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang mempunyai pelbagai geran yang dibenarkan untuk golongan muda 30 tahun dan ke atas, masih boleh memohon dana kerajaan untuk membantu mereka.
“Dalam sektor pertanian juga kerana kita tahu ramai anak muda kurang suka pekerjaan di luar. Jadi untuk geran khas petani akan dikekalkan untuk membantu petani muda. Ia termasuk pelbagai lagi program membabitkan kementerian lain. Semua ini diteruskan untuk membantu golongan muda berumur 30 tahun dan ke atas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah peralihan diambil KBS bagi memastikan golongan berisiko dan rentan berumur 31 hingga 40 tahun sama ada akan terus menerima sokongan serta bantuan daripada kerajaan. – UTUSAN










