Penyalahgunaan dadah golongan berpendidikan membimbangkan

Penyalahgunaan dadah golongan berpendidikan membimbangkan

SHAMSUL Anuar berucap di Program Libat Urus bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Pulau Pinang di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Trend penyalahgunaan dadah membabitkan golongan berpendidikan tinggi yang semakin meningkat amat membimbangkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, berdasarkan statistik dari Januari hingga Mac lalu, sebanyak 559 individu mempunyai pendidikan tinggi iaitu sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Katanya, walaupun jumlah itu kelihatan kecil, namun, ia tetap membimbangkan kerana kelompok terbabit adalah kumpulan produktif yang sepatutnya menggunakan sepenuh tenaga mereka untuk bersama-sama membangunkan negara ini.

“Justeru, semua pihak diminta meningkatkan usaha dan kita mesti bersungguh-sungguh untuk menangani permasalahan ini,” katanya kepada pemberita di Program Libat Urus bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, golongan belia terdiri daripada pelajar sekolah yang terlibat dalam najis dadah turut mencatatkan angka yang tinggi pada masa ini.

“Berdasarkan statistik dari Januari hingga Mac lalu, seramai 71,750 pelajar daripada tahap pendidikan menengah dikesan terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kebanyakan anak muda ini mengambil dadah jenis amfetamin (ATS) dan Opiad yang boleh merosakkan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah bukan tanggungjawab AADK semata-mata, sebaliknya, ia memerlukan kerjasama padu daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin komuniti yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi.

“Saya yakin dengan jalinan kerjasama yang kukuh antara semua pihak, kerajaan dapat menangani isu berkaitan penagihan dadah dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN