Penduduk bimbang kejadian saluran gas di Putra Heights berulang

Penduduk bimbang kejadian saluran gas Putra Heights berulang

LETUPAN api menyebabkan dua tong terpelanting ke udara dalam kebakaran dipercayai tempat simpanan minyak di Taman Megah Ria, Masai, Johor Bahru. UTUSAN//RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penduduk bimbang kebakaran di Kawasan Perindustrian Kota Puteri berhampiran Taman Megah Ria di sini mengulangi tragedi kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, April lalu.

Salah seorang penduduk, Zulkarnain Muhammad Nur, 63, memberitahu, dia mula perasan kejadian kebakaran itu selepas melihat kepulan asap hitam tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Katanya, kawasan kebakaran itu dipercayai merupakan stor simpanan minyak dan kawasan parkir kenderaan lori.

“Kawasan perumahan saya ini kira-kira 50 meter daripada lokasi kebakaran, jadi rasa bimbang jugalah. Apatah lagi bomba juga telah arahkan penduduk untuk mengosongkan rumah.

“Kita takut juga kebakaran ini seperti kejadian paip Petronas beberapa bulan lalu, kerana kawasan kebakaran juga berhampiran dengan perumahan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

ZULKARNAIN MOHAMED NOR

Tambah Zulkarnain, dia telah menetap di kawasan tersebut sejak lebih 20 tahun lalu, namun kejadian kebakaran ini adalah kali pertama berlaku di kawasan tersebut.

“Selama ini tidak pernah berlaku kejadian seperti ini, memang ada terfikir juga kerana banyak lori tangki dan kawasan perindustrian, tetapi tidak sangka ia betul-betul berlaku,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Elesha Alwi, 42, pula memberitahu, dia yang berada di dalam kediamannya ketika itu terdengar bunyi letupan kuat sehingga mengejutkan ketiga-tiga anaknya yang sedang berehat.

“Dalam pukul 12 lebih tadi saya dengar bunyi dentuman kuat. Kemudian ketika keluar rumah terus terlihat kebakaran dan ketulan asap besar.

“Memang bimbang kerana api sangat marak dan kebakaran berlaku dekat dengan kawasan kediaman kami,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN