PEMILIHAN PKR berakhir pada 25 Mei lalu terbukti bukanlah persaingan sihat dalam keluarga kerana sehingga hari ini, isu dalaman parti masih belum dapat diselesaikan, malah terus menghimpit keadaan dalam kerajaan di mana dua menteri meletak jawatan secara bermaruah susulan penolakan akar umbi dalam pemilihan parti berkenaan.
Meskipun Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk melihat Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kembali menyertai Kabinet, namun keadaan itu tetap membuatkan situasi dalam kerajaan tidak menentu sehingga ada pihak lain menuntut dua jawatan tersebut.
Bibit-bibit perpecahan seperti ini menjadi kebimbangan parti lain untuk mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) hanya berbaki dua tahun sahaja lagi demi ingin menjaga keharmonian dalam parti dan enggan mewujudkan kem yang boleh merosakkan hubungan sesama ahli.
Namun tindakan PKR yang mengagungkan perubahan secara demokrasi serta mengamalkan sikap keterbukaan, akhirnya memakan diri dan sehingga hari ini juga apabila parti itu sedang mencari formula terbaik mendamaikan semua pihak.
Mungkin tujuan pemilihan tersebut untuk ingin mengubah kepimpinan baharu lebih baik, maka akar umbi parti itu juga mengharapkan keputusan yang sama dibuat di peringkat kementerian. Perubahan sudahpun dilakukan di peringkat parti, bagaimana pula untuk jawatan menteri diwakili PKR?
Meskipun Rafizi dan Nik Nazmi sudah meletakkan jawatan masing-masing daripada kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, tetapi kedengaran akar umbi tetap tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti, jadi untuk apa mengadakan pemilihan parti jika tiada perubahan untuk menjadi lebih baik?
Bagaimanapun, ada yang menganggap pemilihan itu hanyalah perubahan bagi memperkukuh kedudukan parti sahaja dan ia tidak berkaitan dengan kedudukan Kabinet.
Namun memetik kenyataan Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz, tidak salah seseorang yang menteri yang tewas itu terus memegang jawatan dalam peringkat kementerian, namun bagaimana seorang pemimpin itu ingin meneruskan khidmatnya kepada masyarakat jika ahli dalam parti sendiri menolak pemimpin tersebut?
Tambahan pula, status Rafizi dan Nik Nazmi masih tergantung itu berikutan kedua-duanya sedang menghabiskan cuti tahunan boleh melarat kepada pimpinan PKR lain kerana secara umumnya, terdapat segelintir Ahli Parlimen yang cenderung kem Rafizi dilihat boleh melakukan apa sahaja tindakan yang dianggap kecewa kepada parti.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menerusi satu catatan di Facebook mengumumkan beliau bercuti dua minggu di Perancis untuk berehat bersama keluarga sambil menilai masa depan politiknya di samping mahu merenung kembali usaha-usaha reformasi kerajaan yang menurutnya kelihatan seolah-olah tiada hasil yang ketara.
Perkara ini mengulang kembali apa yang berlaku terhadap bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta 10 Ahli Parlimen PKR lain, apabila semua keluar parti dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) ketika Langkah Sheraton bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen dan kini menyertai wadah parti berbeza.
Jika ini berlaku, ia boleh mencetuskan masa depan PKR yang merupakan parti utama Kerajaan Perpaduan, termasuk persiapan mereka untuk menghadapi PRU16 yang berbaki dua tahun lagi sama ada terus bersinar atau sebaliknya.-UTUSAN










