KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan Kuala Lumpur tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada golongan kapitalis tanpa kawalan, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan nilai kemasyarakatan, etika dan tanggungjawab sosial.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan yang hanya berpaksikan kuasa pasaran akan menjadikan ibu negara sekadar kota fizikal yang gah, tetapi tandus daripada segi roh, budaya dan keadilan sosial.
“Kita tidak mahu Kuala Lumpur hanya gah dengan bangunan pencakar langit, menara ikonik dan infrastruktur mega, tetapi kosong dari segi jiwa, budaya dan akhlak,” katanya ketika merasmikan Simposium ASEAN Madani Leadership Program bertemakan Memperkukuh Masa Depan ASEAN Berteraskan Wawasan Bersama di sini hari ini.
Menurutnya, disebabkan itu kerajaan menekankan kepentingan pemerkasaan budaya atau dalam kerangka pembangunan bandar raya.
“Apabila kita bercakap tentang Kuala Lumpur, antara tugas awal saya adalah memastikan ia tidak hanya dikenali kerana bangunan-bangunan hebat.
“Saya selalu ingatkan mereka tentang apa yang disebut Mark Twain ketika kali pertama ke Washington, bangunan hebat, teknologi moden, semuanya mengagumkan, tetapi tidak cukup tanpa nilai budaya dan akhlak,” katanya.
Anwar berkata, bagi Malaysia, budaya bukan sekadar aspek seni atau warisan, sebaliknya merangkumi nilai, etika, akhlak dan watak yang seharusnya menjadi teras kepada pembangunan dan kelestarian.
“Kita tidak boleh bangga dengan menara-menara tinggi sahaja. Kuala Lumpur patut juga dibanggakan kerana gerai kecil, warung, dan kedai makan yang menjadi nadi kehidupan rakyat.
“Berapa peratus rakyat masuk hotel mewah? 15 atau 20 peratus? Tapi 80 peratus rakyat makan di warung dan gerai.
“Tetapi mengapa 80 peratus ini perlu terima keadaan metro yang kotor, bangunan usang dan kemudahan asas yang tidak mencukupi?” soalnya.
Anwar berkata, keadaan itu berpunca daripada kegagalan memahami keutamaan nilai dan keadilan sosial dalam proses pembangunan bandar raya.
“Sebab itu saya arahkan pihak berkuasa untuk setiap gerai makanan mesti diberi kemudahan asas.
“Bagi saya, itulah ciri pemerkasaan rakyat. Begitu juga dengan aspek lain seperti pendidikan, nilai-nilai rahmah dan ihsan, serta komuniti seimbang (ummatan wasata) yang menjunjung konsep islah, pembaikan untuk rakyat biasa, bukan golongan elit semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, Awar berkata, Malaysia juga sedang berdepan cabaran untuk menterjemah idealisme pembangunan Madani dalam masyarakat yang berdepan dengan penjajahan minda, rasuah sistemik dan elit yang masih terperangkap dalam budaya lama.
“Kita bercakap soal konsep hebat, tetapi bagaimana mahu diterjemah dalam masyarakat yang berpecah, dalam sistem yang korup? Kita ada kelompok elit berpendidikan yang kononnya mahu reformasi segera, tetapi apabila melibatkan isu rasuah, mereka hanya sasar satu orang.
“Yang seleweng berbilion ringgit, tidak ada siapa sentuh. Bila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) siasat, tidak ada seorang pun bersuara. Sebab apa? Sebab mereka ini penyumbang kepada parti atau pertubuhan tertentu. Ini hipokrasi,” tegasnya.
Menurut Anwar, semangat Madani bukan milik satu pihak, tetapi merupakan agenda nasional untuk membawa perubahan menyeluruh berasaskan keikhlasan dan prinsip keadilan.
“Kita tidak bercakap tentang individu atau satu kelompok. Madani ialah soal negara, soal seluruh masyarakat. Yang penting, bukan retorik, tetapi keberanian dan keikhlasan untuk laksanakan perubahan,” katanya. – UTUSAN