Subsidi RON95 beri tekanan kewangan kepada kerajaan

Subsidi RON95 beri tekanan kewangan kepada kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara berhadapan dengan tekanan kewangan akibat daripada subsidi RON95 ekoran lonjakan harga minyak disebabkan krisis tenaga yang melanda dunia pada ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa isu yang kini menjadi perhatian iaitu sejauh mana subsidi RON95 dapat bertahan ekoran bebanan yang wujud pada ketika ini.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan berusaha untuk mempertahankan subsidi tersebut bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati minyak petrol pada kadar serendah RM1.99 berbanding RM4.27 seliter.

“Walaupun dari segi tekanan kewangan sedikit membebankan kerajaan tetapi saya ingat penting juga supaya kita kurangkan bebanan kepada rakyat, sebab itu kita minta kerjasama semua

“Elakkan dari penggunaan (kuota BUDI95) sepenuhnya kalau pun ada peluang untuk (guna) 200 liter, tidak semestinya kita guna maknanya ada sumbangan dari setiap orang bertanggungjawab menyelamatkan ekonomi negara dan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Solat Jumaat di Masjid Nurussa’adah, Kampung Cheras Baru Pandan, di sini hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu meskipun harga minyak mentah global melonjak sejak lima minggu lalu.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan, memaklumkan harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April 2026 adalah RM5.35 seliter bagi RON97 berbanding RM4.96 seliter pada minggu lalu.

Bagaimanapun, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu iaitu subsidi RON95 dengan harga RM1.99 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula RM2.15 seliter.

Sementara itu Anwar berkata, subsidi diesel diteruskan supaya lonjakan harga dunia itu tidak memberi tekanan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan melalui pelbagai kementerian sedang melakukan kajian mengenai keperluan pemberian subsidi pada sektor-sektor yang belum disenaraikan bagi mengurangkan tekanan mereka.

“Ada beberapa kalangan yang merasa mereka kenaikan harga diesel itu membebankan, kalau melibatkan soal peladang, petani dan nelayan itu telah dibantu.

“Tetapi kalau bidang-bidang lain, kita dengan beberapa kementerian sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Anwar berterima kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana perkenan supaya khutbah Solat Jumaat di negeri itu menjelaskan tentang krisis tenaga dan mengadakan Solat Hajat.

“Ikhtiar kita teruskan tetapi kita berdoa juga kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah kasih pada orang yang bertawakal,” katanya.

Beliau berkata, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sudah memberi taklimat dan perkembangan mengenai kapal minyak negara di Selat Hormuz.

“Alhamdulilah semua terlepas dan satu telah hampir sampai, cuma satu kapal kita mengalami kerosakan yang tersadai di pelabuhan. Enam kapal lain sudah boleh berjalan (berlayar).

“Dengan ini kita harap, insya-Allah bekalan minyak untuk April dan sebahagian Mei itu nampak masih dalam keadaan yang sangat terkawal,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan bekas Ahli Parlimen Singapura yang menyindir Malaysia kerana berunding dengan Iran, Anwar berkata, ia merupakan pandangan mereka dan kerajaan akan terus menjalin hubungan yang baik selain menyatakan pendirian tegas mengenai konflik di Asia Barat.

“Kita tidak boleh bincang tentang tindak balas Iran tetapi tidak bicara tentang kezaliman dan serangan biadap Israel ke atas Iran dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).

“Dalam dasar luar kita itu jelas tetapi persahabatan dengan negara-negara jiran kita kena jaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN