Anwar zahir dukacita pemergian Kamal Kharazi

Anwar zahir dukacita pemergian Kamal Kharazi

KAMARIL Kharazi dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan susulan serangan Zionis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan dukacita atas pemergian bekas Menteri Luar Iran, Dr. Kamal Kharazi, yang dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan susulan serangan Zionis.

Anwar berkata, beliau mula mengenali tokoh diplomatik itu ketika Dr. Kharazi berkhidmat sebagai wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, sebelum persahabatan mereka berterusan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Luar.

Menurutnya, Dr. Kharazi merupakan seorang tokoh yang memiliki ilmu pengetahuan luas serta keperibadian yang amat disenangi.

“Beliau seorang yang sangat berilmu dan mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi, sentiasa berfikiran mendalam serta penuh sopan santun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, dunia telah kehilangan seorang diplomat yang luar biasa, manakala beliau secara peribadi kehilangan seorang sahabat yang amat dihargai.

Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh rakyat Iran atas kehilangan tokoh berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pemergian Dr. Kharazi menjadi peringatan jelas terhadap harga yang amat mahal terpaksa dibayar akibat konflik yang sedang berlaku.

“Perang ini mesti dihentikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN