Anwar mahu PKR tumpu masalah negara berbanding masalah peribadi

Anwar mahu PKR tumpu masalah negara berbanding masalah peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PKR akan memberikan tumpuan dan fokus dalam masalah ekonomi yang melanda negara ketika ini ekoran konflik Asia Barat berbanding isu melibatkan bekas timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus perlu diberikan kepada masalah yang dihadapi negara berbanding masalah peribadi

“Tidak mengapalah, kita minta bertenang. Tumpu masalah ekonomi negara lebih serius berbanding masalah peribadi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Solat Jumaat di Masjid Nurussa’adah, Kampung Cheras Baru Pandan, di sini hari ini.

Anwar yang juga Perdana Menteri mengulas desakan beberapa pemimpin PKR yang mahu Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi itu dipecat dari parti kerana berulang kali mengeluarkan kritikan secara terbuka terhadap kerajaan dan Anwar.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa bersama timbalannya, Md. Ysahrudin Kusni dalam kenyataan bersama menyifatkan tindakan Rafizi bukan sekadar perbezaan pandangan biasa, sebaliknya berisiko menjejaskan keharmonian dalaman parti.

Semalam, media melaporkan, Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan setakat ini belum ada sebarang perbincangan dilakukan berhubung gesaan tindakan terhadap Ahli Parlimen Pandan itu.

Menurut beliau, perkara itu juga belum dibawa ke mana-mana platform perbincangan dalam parti.

Sementara itu, Rafizi hari ini menggesa parti itu memecatnya segera sekiranya penjelasannya terhadap surat tunjuk sebab kedua dianggap melanggar perlembagaan parti.

Katanya, Lembaga Disiplin PKR perlu membuat keputusan tegas dan segera berhubung kedudukannya dalam parti kerana rakyat sudah ‘mual’ dengan kemelut berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN