Pelatih IKBN maut nahas mahu jadi jurukimpal profesional

Pelatih IKBN maut nahas mahu jadi jurukimpal profesional

SITI Fatimah Mat Rejab menunjukkan gambar kenangan bersama arwah anak sulungnya, Allahyarham Muhammad Fahmi Jamel ketika ditemui di Kampung Berona Kanan, Jeniang di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama dua lagi rakannya, Khamis lalu bercita-cita mahu menjadi penyelam komersial selepas menamatkan pengajian dalam bidang kimpalan nanti.

Siti Fatimah Mat Rejab, 45, berkata, anak sulungnya Allahyarham Muhammad Fahmi Jamel turut menjadi harapan keluarga setelah dia sendiri bercita-cita untuk bekerja dalam bidang yang mampu menawarkan pendapatan lumayan.

“Fahmi sering suarakan hasrat untuk bekerja di atas kapal suatu hari nanti kerana ingin menjadi jurukimpal profesional seperti abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu Shabudin yang juga Diving Superintendent.

“Saya tahu dia hendak mengubah nasib keluarga kami kerana jika bekerja atas kapal, gajinya besar dan boleh tolong keluarga. Apatah lagi dia pernah bersua dengan Shabudin yang singgah ke kedai makan saya sebelum ini, saya tahu Fahmi sangat kagumi beliau,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam nahas Khamis lalu, Muhammad Fahmi bersama dua rakan sepengajiannya, Muhammad Arif Aifan Derani dan Muhammad Habil Mohd. Sobri meninggal dunia selepas dua buah motosikal dinaiki mereka melanggar kereta yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Alor Setar.

Kesemua mereka yang berusia 19 tahun dalam perjalanan ke sebuah stesen KTM untuk menghantar rakan mereka, Muhammad Adib Aiman Mohd. Hasani yang turut cedera dalam kemalangan tragis itu.

Menurut Siti Fatimah, walaupun anaknya seorang yang pendiam, dia ringan tulang dan sentiasa tersenyum serta tidak pernah lupa berhubung setiap hari kecuali pada hari kejadian apabila tiada sebarang pesanan mesej diterima daripadanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN