Arwah kakak kerap sedih, mahu bergambar bersama

Arwah kakak kerap sedih, mahu bergambar bersama

Lori
PASUKAN penyelamat mengeluarkan kereta yang terseret ke dalam parit selepas dilanggar sebuah lori yang didakwa hilang kawalan dalam kejadian kemalangan membabitkan lima kenderaan dekat Jalan Banting - Dengkil, Sungai Manggis di Kuala Langat, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang adik tidak menyangka sikap kakaknya yang kerap berasa sedih dan ingin bergambar bersama keluarga menjadi petanda dia akan pergi selama-lamanya.

Allahyarham Nurhikmah Abd. Rahman, 43, dan anak, Allahyarham Nur Irsalina Zuhrah Safrol Nizam, 10, maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka dilanggar dan diseret beberapa meter oleh sebuah lori selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Banting-Dengkil di Sungai Manggis dekat sini kira-kira pukul 6.30 pagi semalam.

Menurut adik bongsu mangsa yang enggan namanya didedahkan, dia hanya mengetahui perkara tersebut kira-kira empat jam kemudian selepas diberitahu anak lelaki arwah yang tinggal dekat sekolah berasrama penuh di Perak.

Jelasnya, ketika kejadian, arwah kakaknya itu sedang menghantar dua anaknya masing-masing ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) di daerah ini.

“Semalam dia bersama dua lagi anaknya sempat ke majlis perkahwinan saya di Kuala Lumpur.

“Tiada perubahan ketara yang kami sekeluarga perasan kecuali melihat arwah kakak yang banyak menangis dan mahu bergambar bersama adik-beradik yang lain pada waktu itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik, Hospital Banting, semalam.

Kemalangan terbabit melibatkan sebuah lori pasir yang dikatakan melanggar empat buah kereta iaitu Proton Persona, Honda City, Nissan Almera dan kereta mangsa, Perodua Myvi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, sebaik sahaja pasukan bomba tiba di tempat kejadian, mereka dapati lori terbabit berada di atas kereta berkenaan selepas terbabas ke dalam parit di tepi jalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan selepas mereka dikeluarkan dalam tempoh sejam antara pukul 8.45 hingga 9.45 pagi.

Sementara itu, tambah waris mangsa, kejadian meragut nyawa yang berlaku semalam pasti sukar dilupakan kerana kehilangan ahli keluarga pada tarikh 22 hari bulan walaupun bulannya berbeza.

“Arwah meninggal pada tanggal tarikh yang sama dengan arwah ibu kami iaitu 22 Januari dan bapa pada 22 Mei tahun lalu,” luahnya.

Difahamkan, suami kepada Allahyarham Nurhikmah kini belajar sambil bekerja di Australia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN