Pelajar minta pemandu perlahankan bas tapi tidak diendah

Pelajar minta pemandu perlahankan bas tapi tidak diendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas jalan raya di Gerik semalam mendakwa telah menegur pemandu bas agar memperlahankan kenderaan namun tegurannya itu tidak diendahkan.

Perkara itu diberitahu oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Noraini Ahmad ketika melawat Lili Suzana Mat Yaacob, 23, di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut Noraini, pelajar itu memberitahu dia yang sedang tidur dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan bas tersebut dipandu laju.

“Dia beritahu bas dipandu laju dan ada tegur pemandu beberapa kali tapi (lelaki itu) terus bawa laju. Tadi pun dia bimbang dengan keadaan rakan-rakan dan minta mereka untuk kuat.

“Saya nasihatkan dia supaya jangan fikir apa-apa sebab pihak UPSI, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menawarkan bantuan untuk mereka,” katanya.

Selain Lili Suzana, turut dirawat di hospital itu Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21.

Menurut Noraini, keadaan kedua-dua pelajar itu kini stabil dan ditempatkan di wad biasa hospital berkenaan.

Katanya, khidmat kaunseling akan diberikan kepada kedua-dua pelajar itu berikutan keadaan mereka yang didapati masih trauma.

“Dalam keadaan ini sekiranya terjadi kepada sesiapa pun, perasaan trauma itu semestinya ada. Apatah lagi bila kenderaan (dinaiki pelajar) itu terbalik.

“Selain daripada UPSI, kementerian juga menawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa. Kita harapkan mereka cepat sembuh dan kembali bersemangat untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, di samping kaunseling kepada mangsa yang terselamat, khidmat sama juga diberikan kepada waris pelajar yang meninggal dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN