KUALA LUMPUR: Lebih 200 pemilik motosikal Ducati menyertai konvoi ‘We Ride As One 2026 – Malaysia Edition’ yang mencipta sejarah apabila diberi akses khas memasuki kawasan Menara 118, semalam.
Program anjuran Ducati Official Club Malaysia (DOCM) itu diadakan serentak dengan sambutan global ‘We Ride As One’ yang menghimpunkan komuniti Ducati di lebih 65 negara sempena ulang tahun ke-100 jenama itu.
Bagi edisi Malaysia, konvoi diketuai DOCM bermula dari Ducati Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Menara 118 untuk sesi fotografi dan rakaman video bersama peserta.
Presiden DOCM, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, peserta konvoi dibahagi mengikut kumpulan termasuk Ducati Sungai Buloh dan Ducati Kuala Lumpur bagi memastikan pergerakan lebih tersusun.
“Kira-kira 100 peserta bergerak dari lokasi perhimpunan utama dengan diiringi lima anggota polis trafik sebelum memasuki laluan sekitar Mahameru, Masjid Albukhary, Menara 118 dan Stadium Merdeka,” katanya ketika sesi taklimat ‘We Ride As One’ di Ducati Kuala Lumpur.
Beliau turut mengingatkan peserta agar menjaga disiplin sepanjang berada di kawasan Stadium Merdeka, termasuk tidak membuat bunyi enjin berlebihan atau melakukan aksi yang boleh merosakkan kawasan tersebut.
“Jangan spin tayar sebab lantai Stadium Merdeka baru dibaik pulih dan pihak pengurusan tidak mahu ada kesan tayar di kawasan itu,” katanya.
Nazir berkata, peserta turut diberi masa sejam untuk naik ke kawasan tinjauan bagi sesi bergambar berlatarbelakang Menara 118 sebelum konvoi meneruskan perjalanan ke Janda Baik melalui Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE). – UTUSAN










