GEORGE TOWN: Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang memperkenalkan sistem pengesahan kod QR bagi setiap durian keluaran negeri itu dalam usaha menjamin ketulenan produk serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap durian Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, inisiatif baharu itu diperkenalkan bagi mengelakkan lambakan durian dari negeri atau negara lain dijual menggunakan label durian Pulau Pinang.
Menurut beliau, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR yang dilekatkan pada setiap buah durian untuk mendapatkan maklumat lengkap berkaitan asal-usul buah tersebut.
“Melalui sistem ini, pengguna boleh melihat kod pengenalan durian, lokasi asal kebun, maklumat ladang serta nombor lesen rasmi kebun yang mengeluarkan durian berkenaan.
“Bagi mengelakkan penyalahgunaan dan penduaan, setiap kod QR hanya sah digunakan selama tujuh hari,” katanya selepas mengedarkan kira-kira 2,000 risalah bertajuk ‘Durian Legend: Savoring Penang’s King of Fruits’ kepada Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang bagi tujuan promosi, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, langkah itu bukan sahaja meningkatkan ketelusan dalam urusan jual beli durian, malah membantu melindungi reputasi durian Pulau Pinang yang terkenal dengan kualiti premium, aroma kuat dan tekstur berkrim.
“Usaha proaktif Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang dalam memperkenalkan inovasi pemasaran dan sistem pengesahan produk yang diyakini mampu memberi nilai tambah kepada industri durian negeri,” katanya.
Kata Hon Wai, pelawat ke Pulau Pinang pada musim durian tahun ini digalakkan mencuba sendiri sistem kod QR tersebut bagi menikmati pengalaman membeli durian asli Pulau Pinang dengan lebih yakin dan selamat.
Sementara itu, beliau berkata, risalah tersebut akan digunakan secara meluas di gerai jualan durian serta aktiviti promosi pelancongan sepanjang musim durian tahun ini.
Katanya, Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang kini mempunyai kira-kira 250 ahli terdiri daripada pekebun kecil dan sederhana dengan hampir 200 daripadanya aktif dalam penanaman durian.
“Maklum balas diterima daripada pekebun mendapati risalah durian yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2024 mendapat sambutan sangat baik daripada pelancong, pemborong, peruncit serta pemain industri.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menambah baik kandungan risalah tahun ini dengan maklumat lebih lengkap mengenai gerai durian, kebun, ladang dan resort berkaitan durian di bahagian pulau serta Seberang Perai,” katanya. – UTUSAN










