Bayi 36 hari antara mangsa banjir

Bayi 36 hari antara mangsa banjir

HASLINA Othman (kanan) bersama anaknya, Nor Azimah Che Kassim yang memangku cucu berusia 36 hari ketika berlindung di PPS Dewan Keda Sungai Tengas, Bandar Baharu. Kedah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Sebuah keluarga yang baru menerima kelahiran bayi berusia 36 hari cemas apabila rumah mereka dilanda banjir di Kampung Sungai Te­ngas Tengah, di sini, semalam.

Menurut Haslina Othman, 48, hujan lebat yang bermula sekitar pukul 4 petang menye­babkan paras air sungai mening­kat dengan cepat sebelum air mula memasuki rumah kira-kira pukul 8 malam.

Katanya, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga termasuk anak perempuannya, Nor Azimah Che Kassim, 25, yang masih dalam tempoh berpantang.

“Saya cuma fikir nak selamatkan anak dan cucu yang baru lahir kerana ketika itu air semakin deras sehingga paras dalam rumah mencecah lutut dan di luar pula paras pinggang.

“Saya juga berdepan kesukaran untuk selamatkan diri kerana diserang strok kira-kira seminggu lalu dan masih lemah serta sukar berjalan, jadi anak-anak terpaksa heret keluar dalam keadaan hujan lebat,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Keda Sungai Tengas, hari ini.

Katanya, mereka kemudian bernasib baik apabila anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba untuk menyelamatkan tujuh ahli keluarga termasuk bayi berkenaan.

Menurut Haslina, banjir kali ini disifatkan paling buruk pernah dialami keluarganya selepas beberapa kali berdepan situasi sama sebelum ini.

“Tahun lepas masa anak bongsu lahir pun kena banjir, masa itu saya yang berpantang namun kami tidak berpindah ke PPS, sekarang cucu pula. Tapi kali ini memang paling teruk sebab air naik cepat dan deras,” katanya.

Terdahulu, seramai 44 mang­sa daripada 12 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS ekoran rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat lebih dua jam melanda daerah itu petang semalam.

Antara kawasan terjejas adalah Kampung Sungai Tengas; Kampung Air Itam Dalam; Kampung Cherok Meranti; Kampung Paya Salak dan Kampung Batu Hampar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN