Pegawai Rancangan Tanah Felda didakwa tipu kerja baik pulih pusat pengumpulan getah

Pegawai Rancangan Tanah Felda didakwa tipu kerja baik pulih pusat pengumpulan getah

EDDY Khirin Bunaim (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menipu berkaitan kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2 pada 2023.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang Pegawai Rancangan Tanah Felda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki untuk menurunkan tandatangan berkaitan kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2 pada 2023.

Tertuduh, Eddy Khirin Bunaim, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menipu seorang lelaki berusia 68 tahun dengan mendorong lelaki itu untuk menurunkan tandatangan pada cek bank milik Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lui Selatan 1 bagi tujuan pembayaran wang berjumlah RM12,000 kepada pembekal seorang individu.

Ia sebagai pendahuluan untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2 sedangkan individu itu bukanlah pembekal yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja berkenaan, yang mana lelaki berusia 68 tahun itu tidak akan mengambil tindakan tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bahau pada 16 Mac 2023

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara minimum setahun atau tidak melebihi 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya telah menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh beserta syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jumlah jaminan paling minimum kerana menanggung empat orang anak yang masih bersekolah serta sedang menyambung pengajian.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Sekiranya tertuduh gagal mematuhi arahan mahkamah, wang jaminan tidak akan dikembalikan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan lantikan peguam pada 14 Ogos depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN