KANGAR: Cadangan penubuhan ‘payung besar’ untuk menyatukan parti-parti politik Melayu dilihat tidak relevan dan hanya akan membebankan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pensyarah Sains Politik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Izmer Yusof berkata, bangsa Melayu sebagai majoriti di negara ini sudah pun mempunyai wadah politik kukuh menerusi Pas, Bersatu dan UMNO, sekali gus menjadikan gagasan ‘payung besar’ sebagai satu bentuk pengulangan tidak produktif.
Katanya, sokongan orang Melayu sudah tertumpu kepada Pas dan Bersatu dalam PN, manakala sebahagian lagi kepada UMNO, maka, penubuhan gagasan baharu ini sebenarnya lebih kepada menyelamatkan parti kecil seperti Pejuang yang dilihat tidak lagi relevan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Mengumpulkan semua parti-parti Melayu di dalam satu gagasan (payung besar) tidak memberi manfaat kepada Pas dan Bersatu memandangkan Pas sendiri khususnya sudah cukup kuat dengan sokongan orang Melayu.
“Bayangkan kalau gagasan tersebut diteruskan sehingga PRU16, Pas dan Bersatu mungkin perlu pula membahagikan kerusi kepada Pejuang dan beberapa parti politik Melayu lain yang dilihat tidak mampu memberi nilai tambah kepada PN,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan jawatankuasa sekretariat orang Melayu sebagai usaha mengembalikan kekuatan politik Melayu yang didakwa semakin terhakis.
Muhammad Izmer berkata, inisiatif ini tidak menjanjikan sebarang kelebihan nyata kepada PN, memandangkan parti-parti kecil terbabit tidak mempunyai jaringan akar umbi yang kukuh serta hanya bergantung pada pengaruh peribadi Dr. Mahathir.










