MEKAH: Jemaah haji Malaysia perlu membuat ‘checklist’ berhubung aspek pelaksanaan rukun dan wajib haji mereka sama ada sah dan sempurna melalui Google Form yang diedarkan Tabung Haji (TH) sebelum pulang ke tanah air.
Pengarah Operasi Bimbingan TH, Shahrin Awaludin berkata, TH memperkenalkan inisiatif baharu dengan mengedarkan borang semakan digital menggunakan platform itu kepada semua jemaah haji Malaysia.
“Selain membantu mereka menilai semula pelaksanaan ibadah haji sebelum pulang ke tanah air, langkah penambahbaikan itu bertujuan memastikan setiap ibadah yang dilaksanakan adalah sah, sempurna dan diterima oleh Allah SWT khususnya dalam aspek rukun dan wajib haji.
“Kebiasaannya TH akan mengadakan sesi post-mortem ibadah haji, namun tidak semua jemaah dapat hadir. Jadi, pada tahun ini kita berharap dapat mengumpulkan maklumat yang lebih menyeluruh dengan mengedarkan borang Google Form kepada semua jemaah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tegas beliau, urusan ibadat ini sangat penting dan kritikal kerana tidak mahu timbul sebarang isu selepas pulang ke Malaysia.
“Contohnya, berkaitan dengan pembayaran dan pelaksanaan dam di mana perkara ini wajib diselesaikan semasa berada di Tanah Suci.
“Dam tidak boleh dibayar atau dilaksanakan selepas pulang, kerana sembelihan seperti kambing dan fidyah hanya sah dilakukan di Tanah Suci,” katanya.-UTUSAN










