PETALING JAYA: Pas memberi amaran dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahlinya melanggar disiplin parti termasuk menimbulkan syak wasangka dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, partinya sentiasa komited dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang negara dan prinsip Rukun Negara yang bermatlamatkan pencapaian perpaduan kaum lebih erat.
Katanya, sebarang catatan dimuatnaik atau mana-mana catatan lain adalah pandangan individu dan bercanggah dengan Perlembagaan Pas, ketetapan Muktamar Agung dan kenyataan rasmi parti.
“Sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk dan warnanya tidak ada tempat dalam Pas, selain tidak cocok dengan budaya besar dan cita-cita kebangsaan negara ini.
“Pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.
“Kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya. Tahniah daripada Pas buat Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, ATM mengumumkan pelantikan Johnny Lim sebagai melakar sejarah kerana merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi itu.
Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad kemudian membuat hantaran di media sosial yang seolah-olah mempertikai pelantikan tersebut dengan mengaitkan tidak mustahil pada masa hadapan Malaysia menerima Perdana Menteri berbangsa Cina yang pertama.
Takiyuddin berkata, Pas terus memberi peringatan kepada pimpinan dan ahlinya supaya kekal cermat dan berhati-hati dalam sebarang tindakan kerana ketegasan parti dalam soal adab, susila mahu pun disiplin seperti termaktub dalam Perlembagaannya yang tiada toleransi.
“Sesungguhnya Pas amat serius dalam hal ini dan ia dizahirkan dengan jelas dan nyata apabila Muktamar pada 2024 telah meluluskan pindaan Perlembagaannya untuk membuka keahlian kepada semua rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan keturunan,” katanya.-UTUSAN










