KOTA BHARU: Dewan Pemuda Pas Kawasan Pengkalan Chepa mencalonkan Yang Dipertua Pas Kawasan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sebagai Timbalan Presiden Pas sempena Mesyuarat Agung Kawasan Kali Ke-53 di sini, hari ini.
Ketua Penerangannya, Mohamad Sazwan Mohd. Sakri berkata, pencalonan tersebut dibuat sebagai tanda sokongan penuh terhadap kepemimpinan Mohd. Amar yang dilihat mempunyai ketokohan, pengalaman luas serta istiqamah dalam perjuangan Pas di peringkat kawasan, negeri dan Pusat.
Katanya, pencalonan itu juga merupakan satu bentuk penghormatan kepada peranan besar beliau dalam memperkukuh dasar perjuangan parti serta membimbing generasi pelapis dengan penuh wibawa dan hemah.
“Ini tidak bermaksud untuk mendorong berlakunya pertandingan jawatan, sebaliknya sebagai iktiraf moral terhadap peranan besar yang telah dimainkan oleh beliau (Mohd. Amar) Langkah ini turut mencerminkan kematangan politik anak muda Pas di Pengkalan Chepa dalam menyatakan sokongan secara beradab dan berpandangan jauh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Sazwan berkata, Pemuda Pas Pengkalan Chepa turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memelihara adab berjemaah dan budaya wala’ dalam menyatakan sokongan terhadap mana-mana tokoh kepimpinan.
Katanya, tindakan itu juga dilihat seiring dengan usaha memperkasa saf kepemimpinan Pas di semua peringkat dalam suasana parti yang terus teguh dan diyakini untuk masa depan umat dan negara. – UTUSAN










