Negeri Sembilan bersedia hadapi cuaca panas

Negeri Sembilan bersedia hadapi cuaca panas

JALALUDDIN Alias menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Yayasan Pelajaran dan Kebajikan Jempol di Jempol hari ini. - UTUSAN/ NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan bersedia menghadapi cuaca panas yang dijangka berlarutan akibat Monsun Barat Daya.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Jawatankuasa Bencana Negeri yang ditubuhkan juga akan berperanan memantau aspek berkaitan bencana termasuk kemarau, ribut dan banjir.

“Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) juga telah membuat persiapan awal dengan memastikan paras air di semua empangan utama berada pada tahap mencukupi.

“Saya juga yakin bahawa bekalan air kita di Negeri Sembilan akan mencukupi sepanjang musim Monsun Barat Daya ini.” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembinaan Dewan Yayasan Pelajaran dan Kebajikan Jempol (YPKJ) di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, musim Monsun Barat Daya ketika ini akan dijangka menyebabkan kebanyakan negeri di Semenanjung dan Sarawak mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, keadaan cuaca kering berpanjangan ini berisiko tinggi menyebabkan pelbagai impak negatif seperti isu kesihatan awam, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan belukar, jerebu serta menjejaskan hasil pertanian.

Sementara itu, Jalaluddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan air sekiranya cuaca panas berpanjangan berlaku dalam tempoh yang lama.

“Oleh itu saya menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya bersedia dan mengelakkan pembaziran air demi kelangsungan bersama. Kerajaan negeri menasihatkan rakyat supaya menjaga diri dengan sebaiknya ketika cuaca tidak menentu ini dan kita harap semua dapat melaluinya dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN