SHAH ALAM: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor masih belum mendapat penjelasan daripada Universiti Selangor (Unisel) mengenai 10 isu berbangkit yang belum selesai.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, Naib Canselornya, Senator Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman gagal hadir pada prosiding PAC, pagi tadi.
“Beliau gagal hadir kali kedua atas alasan menghadiri sesi latihan kemahiran menembak untuk memperbaharui lesen senjata api. Mesyuarat PAC tidak dapat merekod sebarang keterangan daripada pihak Unisel,” katanya, hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor itu turut dihadiri Jabatan Audit Negara Selangor yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Dr. Yati Md. Lasa.
Menurut Mohamed Azmin, 10 isu yang dibangkitkan itu antara perkara yang dilaporkan dalam AG Dashboard dan masih belum mendapat penyelesaian sewajarnya.
“Mesyuarat PAC itu turut meneliti dan menyemak deraf penyata yang bakal dibentangkan pada Sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor pada 7 Julai ini untuk dibahaskan.
“PAC akan terus komited menggalas tanggungjawab memeriksa dan memantau segala urusan kerajaan negeri, agensi, badan berkanun dan anak syarikat yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara,” ujarnya.
Tambah beliau, semua perkara yang difikirkan oleh jawatankuasa patut diperiksa bagi menjamin tatacara dan prosedur kewangan yang bersih serta berhemah. – UTUSAN