Na'imah dakwa haknya dicabul, sifatkan beku harta dendam politik

Na’imah dakwa haknya dicabul, sifatkan beku harta dendam politik

NA'IMAH ABDUL KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menyifatkan tindakan pembekuan asetnya di luar negara merupakan satu pencabulan dan menyifatkan sebagai dendam politik.

Na’imah berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai tindakan tersebut dan hanya menge­tahui menerusi laporan akhbar bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah mengeluarkan perintah pembekuan ke atas asetnya di luar negara.

Oleh itu, kata beliau, tindakan tersebut merupakan satu pencabulan mengejut norma undang-undang yang paling asas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia langsung tidak boleh dite­rima bahawa perkara sebegini berlaku di Malaysia.

“Penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu rujukan yang berbahaya,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Semalam media melaporkan, dua bangunan komersial, tiga kediaman mewah dan dua kedia­man milik isteri kepada bekas Menteri kewangan itu dan keluarganya yang terletak di sekitar London telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).

Turut dibekukan ialah sebuah akaun bank milik The Ilham Foundation, sebuah pertubuhan kebajikan di London yang Na’imah merupakan salah seorang pemegang amanahnya.

Ia menjadikan keseluruhan aset mudah alih dan tidak alih dibekukan tu dianggarkan bernilai £132 juta (RM758.2 juta).

Na’imah mendakwa, SPRM sudah memperoleh ex parte itu secara rahsia dan suruhanjaya itu hanya memilih untuk berdiam di sebalik pintu tertutup dan dirinya pula tidak diberi peluang untuk membela diri.

Jelasnya, beliau seharus­nya dibenarkan untuk menyatakan pembelaan di mahkamah bagaimanapun haknya itu dina­fikan.

“Tiada yang munasabah akan mengatakan bahawa ini selaras dengan keadilan atau prinsip keadilan asasi. Mereka telah memperoleh perintah tersebut secara serang hendap.

“Malah tiada peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan permohonan ex parte seperti ini dibuat dan kini mereka bersembunyi di sebalik ‘selimut’ undang-undang untuk menjustifikasikan sesuatu, yang secara jelas merupakan satu bentuk pencurian oleh institusi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, tindakan pembekuan tujuh hartanah dan satu akaun milik Na’imah dan keluarga oleh SPRM bagi mengelakkannya daripada dilupuskan.

Utusan Malaysia difahamkan, sitaan itu merupakan sebahagian daripada harta Allahyarham Daim bernilai RM2 bilion yang dikesan SPRM untuk dilucutkan kerana tidak diisytiharkan.

Aset-aset yang disita itu adalah harta bernilai tinggi yang dibuka dalam lapan kertas siasatan terbaharu SPRM, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia adalah sebahagian tindakan awal yang dilakukan SPRM dalam siasatan itu.

“Dalam kes ini, kita sudah memasuki permohonan di mahkamah untuk restraining order (perintah sekatan) bagi tujuan pembekuan aset itu di luar negara.

“Kita juga akan meneruskan siasatan lanjut bagi akaun-akaun yang sudah disita kerana kita perlu membuat penyitaan bagi mengelakkan ia dilupuskan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini