PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menganjurkan lelongan awam pelbagai barangan hasil sitaan operasi cukai taksiran pada Khamis ini bagi membantu mengurangkan tunggakan cukai pemilik harta di kawasan pentadbirannya.
Sebanyak 50 unit barangan dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM7,000 akan dilelong kepada orang ramai. Ia termasuk ketuhar gelombang mikro pelbagai jenama, mesin jahit, televisyen 32 inci, kipas elektrik, set sofa dan set golf.
Menurut MPAJ, lelongan awam itu merupakan antara usaha membantu mengurangkan jumlah tunggakan cukai taksiran pemilik harta di kawasan pentadbirannya.
“Jumlah kutipan daripada lelongan yang dijalankan akan digunakan untuk mengurangkan tunggakan cukai pemilik barangan yang dilelong,” katanya dalam kenyataan.
Barangan yang akan dilelong merupakan hasil sitaan melalui Operasi Sita Cukai Taksiran yang telah dijalankan sebelum ini, jelas MPAJ.
Orang ramai dijemput hadir ke sesi lelongan awam pada Khamis, 12 Jun 2025, pukul 2 petang di Galeri Aras 4, Menara MPAJ. – UTUSAN







