HULU SELANGOR: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan kerajaan negeri meningkatkan bayaran cukai pintu di negeri tersebut sehingga berlipat kali ganda daripada jumlah asal.
Sehubungan itu, Mohamed Azmin menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi penjelasan berhubung kenaikan cukai pintu itu.
Menurut beliau, kenaikan cukai tersebut menandakan kerajaan tidak peduli dengan masalah rakyat yang sedang memperbaiki hidup semula selepas berdepan dengan pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Dalam keadaan kita sedang menegur kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan notis cukai pintu yang baru. Saya percaya keputusan ini diambil untuk semua Majlis Perbandaran di negeri Selangor.
“Kalau kita lihat notis yang dikeluarkan pada 18 April 2024 (iaitu) hanya dua minggu lalu cukai (pintu) lama (untuk) setahun adalah RM191.40 (tetapi) cukai baru di bawah Madani bernilai RM429,” katanya semasa berucap di Ceramah Perdana PN di Pekan Batang Kali, di sini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan calon PN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor itu berkata, kenaikan cukai itu tidak wajar dengan taraf perkhidmatan yang diberikan oleh majlis perbandaran di negeri tersebut
“Kalau majlis perbandaran memberikan perkhidmatan yang baik, tak apa juga, naiklah sedikit tetapi bukan secara mendadak (sehingga) empat kali ganda. Sedangkan sampah tidak dikutip, jalan berlubang-lubang (dan) tidak diselenggara dengan baik.
“Kalau rakyat buat aduan, tidak dapat pembelaan dan tindakan yang segera, berminggu (serta) berbulan tidak diberikan sebarang perhatian (oleh Majlis Perbandaran). Bagaimana cukai pintu nak dinaikkan?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Amirudin untuk tidak mendabik dada dengan rizab simpanan Selangor yang berjumlah RM3.4 bilion.
“Hari ini semuanya sudah ditiadakan tetapi mendabik dada (dengan mengatakan) rizab (simpanan) besar, untuk apa Amirudin? Turunlah ke bawah (dan) tengoklah rakyat,” katanya. – UTUSAN










