SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengeluarkan saman tuntutan terhadap Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan terhadapnya.
Tuntutan tersebut dikemukakan beliau selaku plaintif melalui notis writ saman yang difailkan kepada Mahkamah Tinggi, di sini, pada Jumaat, 6 Jun lalu.
Beliau menamakan Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin sebagai defendan tunggal dalam tuntutan yang dibuat menerusi Tetuan Akberdin & Co. dan dihantar melalui pusat pengajian Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Sulayman (AHAS KIRKHS).
Menerusi pemfailan tersebut, beliau mengemukakan 13 tuntutan kepada kepada pensyarah berkenaan termasuk injunksi mandatori bagi memaksa defendan memadam semua hantaran yang dibuat menerusi akaun Facebook dan X miliknya dalam tempoh 24 jam daripada tarikh penghakiman.
Malah, Mohd. Naim turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Abu Hafiz, wakil atau sesiapa sahaja daripada menerbit atau menyiarkan semula hantaran-hantaran berkenaan selain menghalang defendan daripada memuat naik sebarang pernyataan fitnah terhadap plaintif.
Selain itu, beliau menuntut permohonan maaf dibuat secara terbuka oleh defendan tanpa syarat yang dimuat naik, disiar, diterbit, diedar dan dihebahkan pada laman-laman media sosial termasuk menerusi akaun Facebook dan X milik Abu Hafiz.
Defendan juga dituntut untuk memastikan semua portal berita yang menerbitkan hantarannya supaya meminta maaf dengan penekanan (prominence) secara serta merta.
Dalam notis writ saman itu, Mohd. Naim turut menuntut ganti rugi am, teladan, teruk, punitif dan faedah atas jumlah penghakiman yang ditaksirkan oleh mahkamah terhadap Abu Hafiz.
Sementara itu, dalam pernyataan tuntutan yang difailkan bersama di mahkamah, Mohd. Naim mendakwa pensyarah berkenaan berniat jahat dan mengaitkan plaintif sebagai seorang pemimpin yang angkuh, keras kepala, sombong dan menolak nasihat.
Malah, beliau mendakwa defendan menyifatkan plaintif sebagai pemimpin yang angkuh, elitis dan tidak cakna dengan nilai kesederhanaan apabila mengatakan Ahli Dewan Negara itu mahu bilik pejabat eksklusif berjumlah RM200,000.
Selain itu, Mohd. Naim turut mendakwa defendan memfitnahnya sebagai tidak amanah kerana dipercayai menggunakan dana zakat atau membiarkan ia digunakan untuk tujuan kemewahan, bukan manfaat kepada golongan asnaf. – UTUSAN