KLANG: Jalan Istana, di sini dijangka menerima kunjungan awal seramai 2,000 orang pada hari Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Khamis ini.
Orang ramai dijangka memenuhi persekitaran Jalan Istana bagi menyaksikan perarakan diraja yang bermula pada pukul 9 pagi dari Galeri Diraja hingga pintu masuk Istana Alam Shah.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, setiap sembilan pejabat daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan masing-masing akan membawa 100 orang untuk berbaris sepanjang 1.2 kilometer di jalan berkenaan.
“Bagi pengunjung yang tiba awal, sebanyak 2,000 bendera Selangor disediakan untuk mereka mengibarkannya ketika menyaksikan perarakan Raja Muda Selangor yang diiringi pasukan kompang dan pembawa bunga manggar.
“Selain itu, difahamkan seramai 400 orang anggota dan pegawai polis bertugas pada hari kejadian bagi memastikan jaminan keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran majlis,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang datang boleh meletakkan kenderaan masing-masing di pekarangan tempat letak kereta di Stadium Sultan Suleiman dan parkir bertingkat di Stesen Komuter Klang, bagaimanapun digalakkan menggunakan pengangkutan awam.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 12 jalan di sekitar pusat bandar Klang ditutup selama empat hari bermula pukul 7 pagi pada Khamis sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dalam kenyataannya berkata jalan-jalan terlibat seperti Jalan Stesen, Jalan Istana, Jalan Tengku Diaudin, Jalan Dato’ Hamzah dan Jalan Bulatan Simpang Lima.
Abd. Hamid berkata, pihaknya membelanjakan sebanyak RM3 juta bagi membuat persiapan termasuk meletakkan lampu jalan, memasang skrin LED serta menurap semula jalan-jalan yang terlibat.
Menurutnya, hiasan termasuk meletakkan pokok bunga di sepanjang jalan akan diletakkan sehingga hari istiadat persandingan pada 22 Oktober depan.
“Tempoh itu juga merupakan masa yang orang ramai boleh menyaksikan keindahan Klang sebagai Bandar Diraja. Kita juga akan memantau keselamatan hiasan-hiasan tersebut,” ujarnya.
Perkahwinan diraja antara Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz berlangsung pada Khamis depan dekat Istana Alam Shah.
Pagi tadi, Tengku Amir Shah berkenan meninjau dan menyertai raptai penuh istiadat perarakan pernikahan baginda di sini, hari ini.
Perarakan sejauh kira-kira 650 meter bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah itu diiringi Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat dan paluan kumpulan kompang Istana Diraja Selangor. – UTUSAN










