Kastam Selangor gagalkan 539 kes seludup berjumlah RM209 juta

Kastam Selangor gagalkan 539 kes seludup berjumlah RM209 juta sejak Januari

Cubaan seludup
MOHAMAD Azhar Ahmad Paharazi menunjukkan telefon pintar, mangkuk tandas, minuman keras dan bijih timah yang dirampas dalam empat pemeriksaan JKDM, pada sidang akhbar di Wisma Kastam Pulau Indah, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan sebanyak 539 kes cubaan menyeludup dan mengelak cukai di Selangor membabitkan nilai barangan keseluruhan berjumlah RM124.77 juta sejak awal tahun ini hingga 31 Ogos lalu.

Kesemua kes tersebut melibatkan rampasan pelbagai jenis barang seperti minuman keras, rokok, tembakau, mercun, dadah, skrap, besi, barangan elektrik, daging sejuk beku dan sebagainya dengan nilai cukai sebanyak RM84.4 juta.

Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, minuman keras antara yang tertinggi berikutan kewujudan terhadap permintaannya terutama ketika musim perayaan, namun dalam masa sama cuba mengelak cukai.

“Daripada keseluruhan kes tersebut, ada yang masih dalam siasatan. Ada kes yang memerlukan laporan daripada Jabatan Kimia ataupun jabatan-jabatan lain untuk pengesahan.

“Macam skrap pula kebanyakannya melibatkan metal scrap (skrap besi). Kalau e-waste kita akan serahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, sebanyak lima rampasan terbaharu dari 11 Julai hingga 10 Ogos melibatkan barangan 75.75 tan metrik daging itik dan ayam sejuk beku, 4,462.50 liter minuman keras, 18.5 tan bijih timah, 2,254 unit mangkuk tandas dan sinki serta 360 unit telefon pintar.

Jelas Mohamad Azhar, kesemua barangan tersebut bernilai RM5.38 juta dan jumlah cukai sebanyak RM669,496, sementera jumlah keseluruhan rampasai adalah sebanyak RM6.05 juta.

Kesemua barangan tersebut dikesan menerusi pemeriksaan enam kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara dan sebuah gudang di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini.

“Mangkuk tandas dan sinki diimport tanpa kelulusan yang tertakluk kepada permit import dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Minuman keras dan telefon pintar juga tidak mempunyai permit import.

“Bagi daging sejuk beku pula pengikraran tidak benar dilakukan iaitu barangan tersebut diisytihar sebagai pelbagai sayuran beku dan kentang goreng beku bagi mengelak dikesan oleh JKDM.

“Sementara bijih timah pula, penggunaan borang kastam palsu dikesan menyebabkan JKDM menyita 16 palet barang tersebut dalam sebuah gudang kilang di Pulau Indah,” ujarnya.

Justeru, rampasan melibatkan empat kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 19967 iaitu Mengimport Barang Larangan Tanpa Permit Yang Sah dan Seksyen 133(1)(a) iaitu Membuat Pengikraran Tidak Benar.

“Orang ramai diseru memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM terdekat. JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN