SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis berkaitan fitnah mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel.
Laporan itu dibuat Ketua Penerangannya, Danish Hairudin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, kira-kira pukul 2.55 petang ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja berkata, perkara itu disedarinya selepas melihat hantaran video seorang pemilik akaun TikTok di Seksyen 9 di sini, kira-kira pukul 6 petang kelmarin.
“Selain berkaitan 20 akaun bank di dunia termasuk Israel, individu itu menyindir dan memperlekeh Perdana Menteri sebagai seorang bekas banduan bertujuan merendahkan maruah serta mencetus persepsi negatif terhadap kepimpinan negara.
“Saya percaya kenyataan itu fitnah jenayah kerana dibuat dalam suasana kebencian dunia terhadap Israel dan sengaja direka bagi menimbulkan tohmahan serta celaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambah Danish, tuduhan itu dipercayai sebagai cubaan mengitar semula fitnah lama yang sebelum ini terbukti tidak berasas.
“Kenyataan seumpama itu membangkitkan politik kebencian dan berpotensi merosakkan imej dan kedudukan Perdana Menteri termasuk peringkat antarabangsa.
“Saya juga percaya kenyataan ini melanggar peruntukan undang-undang terutama di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap polis menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan tegas diambil terhadap individu itu supaya budaya politik fitnah dan tidak beretika dapat dihentikan segera.
Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada bukti atau keterangan yang boleh dikaitkan dengan dakwaan Anwar memiliki semua akaun bank itu.
Siasatan terhadap dakwaan itu dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1999 dan didapati tiada kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada waktu berkenaan.
Penjelasan mengenai hasil siasatan itu turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh bekas Pengarah Siasatan BPR, Datuk Abdul Razak Idris pada 2009. – UTUSAN










