PETALING JAYA: Ketua Polis Negara ke-15, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail tidak pernah menjadi ahli PKR apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu seperti yang tular di media sosial, semalam.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, penyebaran maklumat palsu berkaitan latar belakang Mohd. Khalid bukan sahaja mengelirukan rakyat malah boleh menjejaskan kredibiliti dan imej beliau sebagai Ketua Polis Negara.
Katanya, ia juga boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap PKR sebagai komponen parti pemerintah sekiranya ada rakyat yang mempercayai pelantikan Mohd. Khalid dibuat atas dasar lantikan politik.
“PKR kesal dengan kesilapan maklumat yang memaparkan seolah-olah beliau (Mohd. Khalid) pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat serta memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fuziah, PKR memandang serius perkara tersebut dan menggesa pihak yang terlibat menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kesilapan tersebut agar tidak berulang.
Beliau turut menyertakan lampiran senarai Pengerusi MPN Kedah mengikut tahun lantikan:
1999 – Tan Sri Johari Abdul
1999 – Datuk Sheikh Azmi Ahmad
2000 – Tan Sri Johari Abdul
2004 – Akashah Ismail
2005 – Tan Sri Johari Abdul
2007 – Datuk Zamri Yusuf
2008 – Datuk Ahmad Kasim
2010 – Datuk Wan Salleh Wan Isa
2013 – Tan Sri Johari Abdul
2014 – Dr Azman Ismail
2018 – Tan Sri Johari Abdul
2022 – Nurul Izzah Anwar
2023 – Nurin Aina Abdullah
Mohd Khalid, 60, dilantik sebagai KPN ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain berkuat kuasa semalam.
Beliau berpengalaman memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018 sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 September 2021. – UTUSAN










