PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia merakam ucapan takziah kepada India susulan nahas tragis membabitkan pesawat Air India 171 yang terhempas di Ahmedabad, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat sedih selepas dimaklumkan berhubung nahas tragis tersebut.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang setulus hati kepada keluarga dan orang tersayang kepada semua yang terjejas.
“Kami turut merasai kesedihan yang dialami oleh India dan berdiri teguh bersama dalam usaha bantuan yang sedang dijalankan.
“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama para mangsa serta semua yang sedang meratapi kehilangan yang amat menyayat hati ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, sebuah pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India terhempas selepas lima minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, India, pada 1.38 tengah hari waktu tempatan.
Pesawat itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang London Gatwick dan membawa 242 orang termasuk 12 anak kapal.
Penumpang yang menaiki pesawat tersebut terdiri daripada169 warga India, Britain (53), Portugal (7), dan Kanada (1).
Pesawat dilaporkan mengeluarkan isyarat kecemasan MAYDAY sebelum kehilangan komunikasi dengan kawalan trafik udara.
Kawasan kejadian terletak di perumahan Meghani Nagar, berhampiran sebuah asrama perubatan B.J. Medical College. – UTUSAN










