Belajar tentang cinta, pernah cuba aplikasi dating - Olivia Rodrigo - Utusan Malaysia

Belajar tentang cinta, pernah cuba aplikasi dating – Olivia Rodrigo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENEPATI jangkaan sesuai dengan gelaran Pop Princess yang disandang penyanyi, Olivia Rodrigo, album terbaharunya ‘You Seem Pretty Sad for a Girl So In Love’ menjadi antara topik yang mencuri perhatian dalam minggu pertama pelancaran. Album ketiga penyanyi tersebut disebut pengkritik sebagai buah tangannya yang paling matang daripada kedalaman emosi dan kerja produksi walau terdapat lirik dirasakan berulang.

Album ketiga Olivia banyak dikaitkan dengan berita putus cintanya bersama pelakon, Louis Partridge Disember lalu. Sehingga kini peminat berteka teki apakah yang menyebabkan kisah cinta pasangan manis itu putus di tengah jalan? Walaupun rata-rata menduga jarak antara Los Angeles dan London sebagai punca, namun Olivia tidak menolak album ini mungkin mempunyai jawapannya.

Sepatutnya terbit Februari

Album ini sepatutnya terbit pada Februari namun Olivia berkata, dia memerlukan masa yang memastikan produk akhir dalam album ini benar-benar solid.
“Album ini terdapat banyak emosi yang berbeza, sebab itu saya suka. Macam akan ada sahaja lagu yang sesuai untuk mereka di fasa tertentu sesuatu hubungan. Saya tidak pernah bercakap tentang kehidupan peribadi saya dalam temu bual atau mana-mana platform awam, jadi saya rasa muziklah tempat orang akan cuba mencari petunjuk. Tetapi, pada akhirnya, ia hanyalah sebuah lagu,” katanya dalam temu ramah bersama media antarabangsa.

Sentiasa seorang lover girl

Walau tidak menafikan melalui fasa patah hati, Olivia bagaimanapun menyifatkan dirinya sebagai seorang pencinta, iaitu dia sangat suka perasaan mencintai seseorah dan komited terhadap perhubungan. Baginya, cara terbaik untuk mengenali seseorang adalah dengan mengetahui dengan siapa dia sedang berkawan.
“Bila kenal kawan-kawan, kita boleh tahu dia orang yang bagaimana. Adakah kita ada persamaan atau tidak. Selain itu, saya selalu bayangkan macam adegan filem, duduk sebelah lelaki comel yang sedang baca buku sama dengan saya. Tapi tak pernah berlaku.
“Saya pernah buat silap iaitu guna ‘dating apps’ sebulan, waktu itu selepas album SOUR keluar. Tapi ia bukan pengalaman yang baik dan saya tidak mahu buat lagi. Banyak orang yang pelik dan

dengan pekerjaan yang aneh, nampak sangat mereka sebenarnya tidak ada kerja yang sebenar,” katanya.

Sukar tulis tentang bahagia berbanding kesedihan

Dengan deretan lalu patah hati, Olivia mengakui lebih sukar menghasilkan lagu di fasa gembira bercinta berbanding perpisahan.
“Itulah cabaran untuk menghasilkan album ini, saya fikir semua lagu cinta atau puisi cinta akan ada unsur kesedihan, rindu dan takut di dalamnya. Lagu Drop Dead pun ada unsur keresahan dan berharap orang itu akan suka kita. Walaupun kita bahagia, akan ada suara yang buat kita fikir ‘adakah semua ini akan selamanya?” katanya yang mengimpikan janji temu sederhana seperti menonton persembahan komedi.

Tiada masalah bekerjasama dengan Sabrina Carpenter

Walaupun pernah mempunyai hubungan yang agak tegang dengan penyanyi Sabrina Carpenter, namun Olivia menegaskan semuanya sekadar masa lalu. Sekarang mereka berdua merupakan rakan yang saling menyokong kerjaya masing-masing.
“Saya terbuka untuk apa sahaja peluang kerjasama. Semuanya baik-baik sahaja. Cuma orang kadang-kadang menjadi pelik dan suka buat tajuk sensasi untuk mendapatkan klik. Kami sudah pernah berbual banyak kali,” katanya.

Bangkit selepas perpisahan

Jelas Olivia, kawan-kawan menjadi penawar mujarab untuknya untuk keluar daripada kesedihan selepas berpisah.
“Saya bukanlah pakar hubungan. Saya bukan seseorang yang sangat bijak atau arif tentang perkara ini. Tetapi saya memang percaya bahawa berada bersama rakan-rakan adalah yang terbaik. Perpisahan boleh menjadi peluang yang sangat baik untuk menjadikan hidup anda ke jalan lebih baik.
“Walaupun hubungan itu tidak kekal selama-lamanya dan anda tidak berakhir dengan perkahwinan, ia tetap sangat berbaloi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN