LONDON: Malaysia merancang untuk mewujudkan satu ekosistem bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di mana graduannya boleh bergerak bebas merentasi sempadan iaitu dengan sijil diiktiraf dan kurikulum diselaraskan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelajar dan tenaga pengajar juga boleh belajar, mengajar serta memimpin di mana-mana negara dalam rantau ASEAN.
Katanya, Malaysia memberikan komitmen penuh bagi mencapai hasrat itu termasuk sebagai hab pensijilan dan kecemerlangan TVET di rantau ini.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sekadar memperjuangkan pembangunan kemahiran tetapi sedang membina masa depan bersama, menerusi bakat yang disifatkan sebagai ‘mata wang’ kepercayaan, pertumbuhan dan kemakmuran.
“Kita sedang meletakkan asas untuk menjadi hab pensijilan dan kecemerlangan TVET ASEAN, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa dan tenaga hijau.
“Namun ia mesti digerakkan oleh kerjasama. Sebab itu kita sedang membina jambatan kukuh bersama ASEAN, United Kingdom (UK) dan bersama setiap rakyat Malaysia yang hadir hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan awam bertajuk Kepimpinan TVET Malaysia dalam ASEAN: Membina Kemahiran Untuk Masa Depan Bersama di University College London (UCL) UK di sini, semalam.
Syarahan awam itu dihadiri wakil-wakil negara ASEAN, pelajar-pelajar, ahli akademik dan pengurusan tertinggi universiti berkenaan.
Tambah Ahmad Zahid, komitmen Malaysia itu berpaksikan keyakinan bahawa negara bersedia menjadi platform global dalam melahirkan bakat TVET bertaraf dunia mengikut keperluan industri.
“Kita bersedia untuk memimpin, tetapi kita sedar kita tidak boleh melakukannya sendiri. Kita akan mencapainya melalui perkongsian bermakna bersama ASEAN, rakan global dan rakyat Malaysia di luar negara,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri turut meminta para pelajar Malaysia yang berada di UK menjadi duta kecemerlangan dan penghubung visi nasional.
“Saya menyeru anda agar menyumbang bukan sekadar sebagai graduan tetapi sebagai rakan kerjasama untuk membangunkan standard latihan antarabangsa.
“Kongsi ilmu dengan membimbing pelajar dan pelatih TVET. Juarai penyelidikan bersama institusi Malaysia dan yang paling penting, bantu kami membina jaringan strategik antara industri UK dan ekosistem TVET Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan, bersempena Hari TVET Kebangsaan 2025 Jun ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN Keempat yang akan dihadiri perwakilan dari negara-negara ASEAN, Australia dan Jerman. – UTUSAN










