KLANG: Seorang mahasiswa sebuah universiti awam mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap kesalahan amang seksual yang dilakukannya sebanyak tiga kali ke atas sepupunya sendiri sejak dua tahun lalu.
Remaja berusia 19 tahun itu membuat pengakuan demikian sebaik sahaja pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, remaja itu melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan itu dengan cara menjilat, menyentuh dan meletakkan kemaluannya kepada kemaluan mangsa dalam bilik dan tandas sebuah rumah dekat Sungai Buloh pada 10 September 2023 serta 2 dan 3 Mei lalu, antara pukul 2.34 pagi hingga 10.43 pagi.
Semasa kejadian, kanak-kanak tersebut berumur 7 dan 9 tahun. Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ayuni Jamri dalam prosiding tersebut mencadangkan mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan sementara menunggu tarikh sebutan hukuman kerana tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah masih membenarkan tertuduh diikat jamin, saya memohon ditetapkan jumlah jaminan sebanyak RM15,000. Tertuduh juga perlu dilarang daripada mendekati mangsa,” katanya.
Remaja itu kemudian memohon mahkamah mengurangkan wang jaminannya memandangkan dia masih belajar lagi.
“Yang akan bayar wang jaminan ini adalah ayah saya. Ayah adalah satu-satunya yang menyara ahli keluarga kami. Mohon pertimbangan daripada hakim,” katanya ketika sesi mitigasi.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh dikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan melarang tertuduh daripada mendekati mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 20 Ogos bagi sebutan semula, penyediaan dokumen berkaitan kes dan jatuh hukum pada 20 Ogos. – UTUSAN