Lembu tempatan jadi pilihan korban

Lembu tempatan jadi pilihan korban

SAHARUDDIN Mohd. Nor mampu menjual kira-kira 300 ekor lembu untuk ibadah korban minggu depan. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Di sebalik lambakan lembu import dari Thailand dikatakan menjejaskan pasaran tempatan, seorang anak muda dari Felda Tembangau 2 di sini, membuktikan bahawa ternakan tempatan masih mendapat tempat dalam kalangan pembeli yang mahu melaksanakan ibadah korban.

Muhammad Bakri Bukhari, 40, kini memiliki lebih 180 ekor lembu dan kerbau dalam ladang ternakannya dan sudah menjual lebih 40 ekor lembu korban tahun ini kepada pelanggan dari seluruh negara.

“Alhamdulillah, walaupun saingan tinggi terutama daripada lembu import, lembu korban tempatan masih laku.  Setakat ini kami tidak menang tangan memenuhi permintaan,” katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Felda Tembangau 2, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Muhammad Bakri, kebanyakan permintaan datang daripada jabatan kerajaan, syarikat swasta serta waris-waris Felda yang mahu melakukan ibadah korban di sebalik harga seekor dijual bermula RM4,200 hingga RM5,800 bergantung kepada saiz dan berat.

“Mungkin faktor ekonomi dan peningkatan kos sara hidup buat pembeli lebih cermat dalam perbelanjaan. Tetapi Alhamdulillah, tetap ada yang cari lembu tempatan,” katanya.

Dia turut berharap agar pihak berkuasa dapat mengawal kemasukan lembu import dari negara jiran yang kadangkala menjejaskan pasaran dan harga lembu tempatan.

“Penternak tempatan ramai, anak muda pun ramai yang cuba bertahan. Tetapi kalau harga pasaran ditekan oleh import tanpa kawalan, susah kita nak bernafas,” katanya.

Sementara itu di Melaka, harga lembu bagi ibadah korban di sekitar Melaka kekal antara RM750 hingga RM850 satu bahagian tanpa sebarang kenaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Penternak dari Kampung Pasir Panjang, Alai, Saharuddin Mohd. Nor, 58, berkata, meskipun kos makanan ternakan seperti dedak meningkat sejak tiga tahun lalu, mereka memilih untuk tidak menaikkan harga bagi ibadah korban tahun ini.

Katanya, biarpun harga dedak naik daripada RM45 kepada RM60 bagi setiap beg 50 kilogram (kg), harga lembu kekal antara RM4,500 hingga RM5,500 seekor bergantung kepada saiz dan berat.

“Harga satu bahagian lembu dikekalkan pada paras RM750 hingga RM850, sama seperti tiga tahun lalu dan ia menarik lebih ramai pelanggan dengan sebanyak 300 ekor lembu habis ditempah tiga minggu sebelum Aidiladha,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini